Oleh Wartawan Tv Pertiwi
BANGI,1 SYAWAL – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan dakwaan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar bahawa beliau dipantau ‘secara menyeluruh, senyap, dan berterusan’ oleh pihak berkuasa.
Saifuddin berkata, Samsuri harus sedar bahawa sebagai Menteri Besar, beliau mendapat kawalan keselamatan pada setiap masa, dan sebarang ‘pengawasan’ tambahan tidak diperlukan.
“Sebagai Menteri Besar, pergerakan beliau ditemani seorang pegawai polis untuk tujuan keselamatan pada sepanjang masa. Tiada keperluan ‘spy’ beliau kerana polis memang sentiasa bersamanya.
“Saya sendiri pernah tersenarai (untuk pengawasan) pada 2000-2004. Saya anggap ini sebahagian tugasan pihak berkuasa.
“Saya beri kerjasama penuh dan hormat tugasan mereka. Sehingga suatu tempoh, nama saya dikeluarkan daripada senarai tersebut,” katanya memetik FMT.
Beliau berkata, semua VVIP dalam negara ini juga sentiasa diawasi untuk tujuan keselamatan, dengan Samsuri tidak terkecuali.
“Dan sementara VVIP yang lain faham keadaan ini, Samsuri memilih utk jadikan isu,” katanya.
Semalam, Samsuri mendakwa dia dikenakan pemantauan Pejabat Kawalan Perjalanan (TCO) oleh kerajaan, termasuk pintasan talian telefon.
Katanya, ia seolah-olah memberi gambaran yang dia seorang penjenayah berbahaya, dikaitkan dengan sindiket dan gangster, atau berstatus persona non grata di tanah air sendiri.
“Adakah telefon saya dipintas? Sudah tentu. 100 peratus.
“Adakah saya diikuti ke mana-mana saya pergi, walaupun atas urusan peribadi? Sudah tentu. Tanpa ada keraguan,” dakwanya.
Tambah Samsuri, perkara itu merumitkan proses keluar masuknya melalui sempadan negara, walaupun sekadar ke Sabah dan Sarawak sejak suku ketiga tahun 2024.
Beliau berkata, TCO merupakan satu bentuk penandaan terhadap individu yang dianggap berisiko oleh pihak tertentu, walaupun tanpa sebarang kesalahan dibuktikan secara sah.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi