Kerajaan Pahang nafi langgar perintah,dakwaan SAMKA

Oleh Wartawan TV Pertiwi

 

BANGI, 12 SYAWAL — Kerajaan negeri Pahang menafikan dakwaan Save Musang King Alliance (SAMKA) yang mendakwa mereka melanggar perintah mahkamah.

 

Penasihat Undang-Undangnya, Datuk Seri Saiful Edris Zainuddin berkata operasi yang dijalankan kerajaan negeri tidak terikat dengan mana-mana perintah mahkamah.

 

“Dakwaan kerajaan negeri telah  melanggar perintah mahkamah adalah tidak benar.

 

“Permohonan mereka untuk semakan kehakiman berhubung perintah pengusiran telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuantan, dan permohonan penangguhan turut ditolak oleh Mahkamah Rayuan.

 

“Keputusan Mahkamah Rayuan pada 19 Julai menjelaskan bahawa pekebun sepatutnya memohon perintah penangguhan (terhadap perintah pengusiran) di Mahkamah Tinggi di bawah Seksyen 43 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 pada peringkat awal, setelah permohonan semakan kehakiman ditolak.

 

“Namun, mereka terus ke Mahkamah Rayuan untuk mendapatkan perintah penangguhan tanpa melalui prosedur yang sepatutnya. Oleh itu, permohonan tersebut ditolak,” katanya memetik Bernama. 

 

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Raub yang juga Penasihat SAMKA, Chow Yu Hui mendedahkan bahawa pada sekitar jam 11 pagi dua hari lalu, pasukan penguatkuasa negeri Pahang, Jabatan Perhutanan dan Pejabat Tanah dengan iringan pihak polis telah menjalankan operasi penguatkuasaan di kebun durian tanpa geran di Sungai Klau, Raub.

 

Dalam operasi tersebut, sebanyak 200 pokok durian telah ditebang dan telah membawa kerugian besar kepada pekebun.

 

“Pekebun yang kembali ke kebun sekitar jam 3 petang mendapati pokok-pokok Musang King yang ditebang itu kebanyakannya adalah berusia antara 30 hingga 40 tahun  yang mana merupakan hasil usaha keras mereka selama beberapa dekad. 

 

“Tindakan penguatkuasa yang datang tanpa sebarang notis dan terus menebang pokok-pokok ini amat menyedihkan dan sukar diterima oleh pekebun durian,” katanya dalam kenyataan. 

 

Chow Yu Hui berpendapat tindakan penguatkuasa kerajaan negeri Pahang melayan pekebun durian seperti musuh.

 

“Demi melindungi kepentingan tertentu, kerajaan sanggup menjadikan hasil kerja keras pekebun sebagai alat balas dendam — satu tindakan yang sangat mengecewakan dan kejam.

 

“Apabila saya naik ke kebun bersama para petani untuk meninjau kebun durian yang dimusnahkan, saya sendiri menyaksikan bahawa sebuah kebun durian yang lengkap dan berpotensi menjadi modal telah musnah sepenuhnya akibat penebangan kasar oleh pihak penguatkuasa. Pokok-pokok durian Musang King yang tua kelihatan jelas ditebang dengan gergaji elektrik. “

 

Malah, tanaman lain di sekeliling seperti pokok pisang juga tidak terkecuali — satu tindakan yang sangat tidak dapat diterima dan benar-benar membuat para petani menitiskan air mata,” katanya. 

 

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

JUHAM personal tindakan kerajaan ‘intip’ Dr Sam

Next Post

Gaza makin derita, bayi lahir pasif, tiada bekalan susu formula

Related Posts