Oleh Wartawan Tv Pertiwi
BANGI,12 SYAWAL – Seramai 1,114 pegawai dan anggota polis daripada kontinjen Perak akan bertugas sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang bermula dengan proses penamaan calon esok.
Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata, daripada jumlah itu, 778 pegawai dan anggota akan ditugaskan esok manakala 732 lagi sepanjang tempoh berkempen.
Katanya, semua 1,114 pegawai dan anggota akan bertugas pada hari mengundi.
“Kita harap langkah yang kita ambil ini sebagai langkah pencegahan yang telah kita kenal pasti dapat mengurangkan insiden tidak diingini,” katanya memetik Bernama.
Beliau turut mengingatkan bakal calon serta parti politik bahawa Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan undang-undang berkaitan pilihan raya akan digunakan sepanjang kempen berlangsung.
“Saya juga ingin menasihatkan supaya semua, sama ada pihak yang bertanding mahupun penyokong dan orang awam sentiasalah mematuhi peraturan dan undang-undang sedia ada,” katanya.
Sementara itu, Noor Hisam berkata, polis akan membuat pelencongan dan penutupan jalan seawal 7 pagi esok hingga kira-kira 12.30 tengah hari untuk proses penamaan calon.
Katanya, ia melibatkan antaranya simpang utama ke Dewan Merdeka, Jalan Stesen dan simpang Jalan Raja.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 58, selepas bermain bola sepak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, pada 25 Februari lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada 26 April, sementara pengundian awal pada 22 April.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi