Oleh: Balqis Idris
BANGI, 11 SYAWAL — Malaysia sedang menilai implikasi daripada perubahan dasar tarif terbaharu Amerika Syarikat (AS) di bawah pimpinan Presiden Donald Trump, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata, keputusan untuk menangguhkan kenaikan tarif selama 90 hari kepada beberapa negara menimbulkan persoalan tentang hala tuju perdagangan global dan impaknya kepada ASEAN.
“Kita perlu mengakui bahawa ketidaktentuan ini menimbulkan persoalan tentang hala tuju perdagangan global dan impaknya kepada ASEAN.
“Malaysia sedang giat menilai implikasi daripada perubahan ini dan kekal komited untuk bekerjasama dengan rakan-rakan ASEAN dalam mengurangkan gangguan, memperkukuhkan daya tahan ekonomi serantau, dan memperjuangkan hubungan perdagangan yang seimbang serta stabil.
“Perpaduan ASEAN dan integrasi ekonomi serantau akan menjadi lebih penting berbanding sebelum ini, dan kami mengalu-alukan sokongan daripada rakan-rakan yang berkongsi visi ini dan mahu melihat kita semua berjaya,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, isu tersebut dijangka menjadi antara topik utama dalam Mesyuarat jemaah menteri Ekonomi ASEAN (AEM) yang beliau pengerusikan pagi ini.
Menurut rangkaian Truth Social milik Trump pada Rabu, mempertimbangkan penangguhan 90 hari ke atas tarif timbal balik terhadap lebih 75 negara rakan dagang.
Namun, disebalik perkembangan tersebut, Trump mengenakan kenaikan tarif ke atas import dari China kepada 125 peratus berkuat kuasa serta-merta.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul menegaskan bahawa Malaysia akan terus menjadi rakan perdagangan dan pelaburan yang terbuka kepada semua negara, termasuk China dan AS.
“Kami komited untuk mencari penyelesaian yang saling menguntungkan dalam isu perdagangan dengan Amerika Syarikat.
“Malaysia juga akan meneruskan strategi sedia ada untuk mempelbagaikan perdagangan dan meneroka pasaran baharu, serta memperdalam hubungan dengan pasaran sedia ada, sebagai langkah berwaspada terhadap ketidaktentuan semasa,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi