Oleh Balqis Idris
BANGI, 11 SYAWAL —
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menggalakkan semua pihak menyalurkan sebarang maklumat berkaitan isu buli terus kepadanya.
Beliau berkata, semua aduan yang membabitkan kes buli boleh dilakukan melalui platform media sosial bagi memastikan tindakan segera dapat diambil.
“Jika isu dewan selera, tandas, kelas pun pelajar boleh mengadu terus pada saya melalui media sosial, harap isu buli juga tolonglah laporkan. Hentikan budaya buli.
“Justeru saya merayu agar pelajar-pelajar terutamanya jangan sesekali ragu-ragu untuk melaporkan sebarang perilaku buli di asrama.
“Jangan risau dilabel ‘JIBAM’, ‘MAT REPOT’, ‘BARUW’ dan sebagainya. Jangan sesekali membiarkan diri mahupun taulan dibuli dalam apa jua bentuk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial yang memaparkan kejadian buli di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) membabitkan tujuh pelajar termasuk mangsa berusia 15 tahun.
Rakaman yang berdurasi 1 minit 31 saat itu memaparkan sekumpulan pelajar lelaki menghempap kepala dan badan seorang pelajar dalam keadaan tertiarap di atas katil serta disebat menggunakan tali pinggang di punggung.
Justeru, Asyraf merayu agar pelajar tidak berasa takut atau malu untuk melaporkan sebarang perilaku buli walaupun mungkin bimbang dilabel negatif oleh rakan sebaya.
Katanya, tiada kompromi akan diberikan kepada mana-mana individu yang terlibat dalam kes buli di institusi pendidikan MARA, termasuk pihak pengurusan yang cuba melindungi pelaku
“Kita kena sama-sama hentikan budaya buli. Tiada tempat untuk pembuli mahupun sebarang bentuk budaya buli di IPMA termasuk MRSM.
“Jika saya tahu ada pihak yang cuba tutup atau pertahankan pembuli mahupun kes buli, tindakan amat tegas akan diambil termasuk ke atas Pengetua, Pengarah, Warden, Guru atau sesiapa sahaja,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi