Itu bukan kuil tetapi tempat sembahyang dalam rumah, kata MIC Sepang

Oleh: Azzman Jamal

 

BANGI, 11 SYAWAL — Kuil yang didakwa dibina secara haram di Kampung Dengkil sebenarnya adalah tempat sembahyang di dalam rumah keluarga yang menghuni di tanah itu, kata Pengerusi Tetap MIC Sepang, Datuk V Gunalan.

 

Beliau berkata, dakwaan terdapat sebuah kuil besar yang dibina adalah tidak benar dan perkara itu telah disahkan oleh pihak berkuasa yang hadir membuat pemantauan di lokasi.

 

“Itu (yang dikatakan) kuil sebenarnya adalah tempat sembahyang keluarga (yang menetap di situ).

 

“Itu bilik kecil bukan kuil besar,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi.

 

Mengulas lanjut, Gunalan berkata, keputusan sama ada penghuni tanah itu patut pindah atau tidak terpulang kepada perbincangan antara pihak berkuasa dan penghuni terbabit.

 

Semalam, hantaran di Facebook oleh Ketua Kampung Dengkil, Al Rasyid Ab Ranil tular apabila mendakwa lokasi sebuah tapak masjid baharu di Dengkil telah diceroboh oleh pihak tidak bertanggungjawab apabila membina kuil di situ.

 

Pada masa sama, beliau mendakwa, isu tapak Masjid Dengkil itu juga adalah isu lama apabila pihak berkuasa agama negeri tidak memberi tarikh untuk membina masjid kepada pejabat tanah menyebabkan ia menjadi tanah terbiar.

 

Sementara itu, tinjauan TV Pertiwi di lokasi mendapati kediaman itu didiami oleh satu keluarga yang mendakwa mereka telah menetap di situ selama 25 tahun.

 

TV Pertiwi difahamkan, tapak yang bakal dijadikan sebagai masjid baharu itu merangkumi keluasan 10 ekar. 

 

Ketika tinjauan dilakukan, kelihatan juga kehadiran pihak berkuasa termasuk polis, Jabatan Agama Islam Selangor (JASI) dan beberapa pegawai daerah yang melakukan pemantauan.

 

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Shan Gopal Krishnan, pihak polis setakat ini tidak menerima sebarang laporan berhubung dakwaan pembinaan kuil di situ.

 

“Kami hadir hanya untuk memantau, bukan kerana ada laporan.

 

“Setakat pagi ini, pihak polis tidak menerima sebarang laporan,” katanya sambil menambah pihak polis tidak akan memberi ulasan lanjut.

 

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Malaysia sedang menilai implikasi daripada perubahan tarif Trump

Next Post

Tragedi Putra Heights: Kerajaan Selangor mampu beri lebih lagi – MP PAS

Related Posts