Oleh Kamil Awang
BANGI, 11 SYAWAL — PAS mendoakan anak-anak Loh Siew Hong kekal mengamalkan ajaran Islam walau berada di bawah jagaan ibunya.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata keputusan Mahkamah Persekutuan sama sekali tidak menghalang anak-anak Loh mengamalkan ajaran Islam.
“Walaupun mahkamah boleh buat keputusan tetapi anak-anak ini, kita doakan mereka terus istiqamah dengan Islam dan besar sebagai seorang Islam.
“Mahkamah boleh buat keputusan tetapi akidah dan keyakinan itu hak yang tidak boleh dipaksa dan kita doa kepada Allah mudah-mudahan anak itu membesar sebagai Muslim,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada TV Pertiwi mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan kelmarin menghalang kerajaan Perlis mengembalikan agama anak Loh kepada Islam.
Tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Malaya Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim sebulat suara menolak permohonan kerajaan Perlis.
Katanya, tiada unsur ketidakadilan dalam keputusan tersebut dan permohonan kerajaaan Perlis tidak mempunyai merit.
Tuan Ibrahim berkata Malaysia perlu mempunyai hukuman tegas terhadap kesalahan murtad agar kes anak-anak Loh tidak berulang pada masa depan.
Katanya, anak-anak menjadi mangsa dalam kes penceraian Loh dan lebih parah mereka terlibat dalam isu kepercayaan agama.
“Bila mahkamah buat keputusan penjaga merujuk kepada ibu dan bapa, itu yang menjadi masalah sebab isu besarnya adalah murtad.
“Salah seorang meninggalkan Islam dan balik kepada agama asal, ini tidak ada hukuman. Ini menyebabkan timbul masalah kepada anak selepas berlakunya murtad itu.
“Isunya negara kita, bila orang yang murtad atau keluar dari Islam, tiada undang-undang baik mahkamah syariah atau sivil. Oleh kerana itu, kita kena perkasakan,” katanya.
Sehubungan itu, Tuan Ibrahim menggesa pihak berkuasa agama lebih pro-aktif menyantuni mualaf agar mereka tidak terdetik untuk meninggalkan Islam.
Katanya, murtad bukanlah pilihan mualaf jika rumah tangga yang dibina tidak mampu dipertahankan.
“Jabatan agama perlu perkasakan akidah saudara baharu supaya mereka kekal Islam walau mungkin bercerai. Ramai mualaf lain bercerai tetapi tidak kembali kepada agama asal.
“Bila mereka masuk Islam, akidah dan iman mereka tidak diperkasakan akhirnya berlaku penceraian, masing-masing buat hal lain.
“Akhirnya yang paling dukacita apabila institusi agama tidak membela mereka sebagai seorang Islam. Sepatutnya bila bercerai sekalipun, mereka istiqamah dengan Islam,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi