Oleh Akmal Ahmad
BANGI. 11 SYAWAL – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) mencadangkan satu modul ‘Pemulihan Kerohanian Pelajar’ diwujudkan khusus untuk pelaku buli supaya hukuman bukan sekadar takut tetapi kesedaran dan taubat.
Ia susulan insiden buli yang berlaku di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pulau Pinang yang tular baru-baru ini.
Yang Dipertua YADIM, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, pihaknya menyambut baik tindakan pantas dan tegas MARA dalam menangani kes berkenaan dan berharap ia menjadi pengajaran buat pelajar di seluruh negara agar menjauhi gejala buli.
“Isu ini bukan hanya soal salah laku pelajar, tetapi isyarat jelas bahawa masih ramai anak-anak kita perlu disantuni jiwa mereka melalui pengisian kerohanian.
“Pembuli bukan sekadar perlu dihukum, tetapi juga dibimbing. Justeru, YADIM mencadangkan satu modul ‘Pemulihan Kerohanian Pelajar’ diwujudkan khusus untuk pelaku buli,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, modul berkenaan boleh merangkumi aktiviti seperti solat tahajud, tazkirah refleksi, pemukiman jiwa serta ziarah ke rumah anak yatim dan mangsa buli, bagi membangkitkan kesedaran dan keinsafan dalam diri pelaku.
Hasanuddin berkata, pendekatan sedemikian bukan sahaja mampu menyembuhkan jiwa, malah memanusiakan pelaku tanpa melupakan kesalahan yang dilakukan.
“Fokus kita harus beralih kepada dakwah rohani, bukan semata-mata kepada hukuman atau pencegahan,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan, YADIM kini giat melaksanakan program dakwah di peringkat sekolah melalui Rakan Remaja YADIM dan diperluas ke institusi pengajian tinggi menerusi Rakan Belia serta Rakan Siswa YADIM.
“YADIM sedia bekerjasama dengan mana-mana institusi berkaitan bagi melestari gerakan dakwah ke arah menangani masalah buli ini secara berkesan.
“Kami kekal komited menjadikan pendidikan sebagai medan dakwah menyeluruh untuk membina generasi berjiwa Madani, luhur pekerti dan seimbang dunia serta akhirat,” katanya lagi.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi