Oleh Akmal Ahmad
BANGI, 10 SYAWAL – Kesalahan lampau yang tidak mempunyai kaitan dengan kesalahan yang dilakukan hari ini tidak boleh diklasifikasikan sebagai satu jenayah yang sama, kata peguam.
Justeru, peguam, Datuk Shamsuddin Nawawi berkata, kesalahan menjual belon tanpa lesen dan kesalahan lampau berkaitan dadah tidak mempunyai sebarang kaitan.
Beliau berkata, sekiranya Orang Kena Tahan (OKT) mempunyai kesalahan lampau, ia akan didedahkan selepas mahkamah menjatuhkan hukuman.
“Kesalahan lampau itu pula mestilah yang berkaitan. Contohnya jika telah disabitkan bersalah tuduhan dadah, ada atau tidak kesalahan lampau kesalahan dadah juga. Tujuannya untuk mendapatkan hukuman yang lebih berat.
“Tapi kesalahan lampau yang tiada kaitan dengan dadah biasanya tidak diambil kira oleh Mahkamah.
“Akan tetapi jika OKT melakukan kesalahan yang baharu itu, dia didapati positif dadah, maka kesalahan lampau berkaitan dadah itu boleh diambil kira,” katanya dalam kenyataan di media sosial.
Sebelum ini tular di media sosial memaparkan pergelutan antara seorang peniaga belon dan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kejadian di jalan TAR.
Dalam kejadian sekitar pukul 11.30 malam itu, insiden tersebut dipercayai telah menyebabkan peniaga berkenaan mengalami kecederaan tulang belakang.
Semakan rekod lampau terhadap penjual belon berkenaan mendapati lelaki berkenaan mempunyai 13 rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Bagaimanapun, peguam Rafique Rashid berkata, pihaknya tidak akan mengulas berkaitan rekod terbabit memandangkan perkara itu belum disahkan secara rasmi.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi