Oleh: Azzman Jamal
BANGI, 10 SYAWAL — Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP) berharap Majlis Hal Ehwal Islam Kebangsaan (MKI) dapat mengeluarkan satu resolusi yang lebih praktikal dan tepat berhubung isu Palestin.
Pengerusinya, Muhammad Fauzi Asmuni berkata, sempena muzakarah MKI yang dijadual berlangsung pada Sabtu ini, beliau turut ingin mencadangkan beberapa perkara asas berhubung isu tersebut serta garis merah yang tidak boleh dilanggar.
Menurut beliau, Palestin adalah tanah wakaf umat Islam dan salah satu dari bumi suci umat.
Justeru, hukum hakam berkaitan dengannya tidak sama dengan tanah di tempat lain, termasuklah hukum jual beli tanah, pengunduran dan sebagainya.
Oleh itu, beliau berkata, resolusi atau cadangan yang diberikan tidak boleh berdasarkan hukum hakam tanah biasa.
“Jihad bersenjata ada dalam Islam. Jangan buang sesuatu yang thabit dengan nas.
“Hak mempertahankan nyawa dan harta jika perlu menggunakan senjata adalah hak yang diberikan oleh nas,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tanggungjawab membebaskan Palestin sekarang sudah merebak ke seluruh dunia kerana telah terbukti umat Palestin dan negara berjiran tidak mampu membebaskannya dari penjajahan selama puluhan tahun.
Ujarnya, resolusi yang bakal dicadangkan itu ditegas supaya tidak membawa kepada diamnya masyarakat dunia terhadap isu Palestin.
“Israel Raya adalah projek sebenar Yahudi sejak 1897, merangkumi sempadan dari Nil ke Furat.
“Janganlah harapnya ada cadangan untuk memindahkan rakyat Palestin ke Mesirt atau Jordan kerana kedua-dua negara itu sendiri adalah sasaran penjajahan Israel,” kata beliau.
Selain itu, Fauzi menuntut supaya resolusi atau cadangan yang bakal diketengahkan akan meremehkan isu boikot atau secara tanpa sedar melaksanakan kempen mengiktiraf pendudukan haram Israel atas bumi Palestin.
Tegas beliau resolusi dan cadangan sepatutnya menjurus ke aras persediaan pembinaan kekuatan secara beransur-ansur
“Persediaan untuk melakukan jihad qital adalah sesuatu yang perlu difikirkan dan dirancang oleh kerajaan umat Islam.
“Tetapi ia tidak boleh menjadi alasan untuk kerajaan umat Islam berterusan mendiamkan diri dan berpeluk tubuh sambil mengeluarkan kenyataan.
“Antara bentuk jihad yang praktikal sekarang adalah jihad menentang normalisasi dan jihad melumpuhkan kekuatan ekonomi Israel,” tambah beliau.
Dalam pada itu, beliau berkata, mengukur maslahah dan mafsadah perlu dilakukan secara kolektif dengan menilai segala sudut yang mana penglibatan pimpinan umat Palestin adalah perlu dan pandangan mereka mesti diambil kira.
“Semoga isu fatwa ini tidak menjadi punca perpecahan umat Islam. Masing-masing ambillah peranan menyatukan walau pun terpaksa menongkah arus.
“Kesatuan umat adalah kunci kepada pembebasan Palestin dan kedaulatan Islam,” kata beliau.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi