Oleh: Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 10 SYAWAL — Harga iPhone, jenama telefon pintar terkemuka keluaran Apple, berpotensi mencecah RM10,000 disebabkan tarif oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terhadap beberapa negara.
Menurut seorang penganalisis dari Rosenblatt Securities, Barton Crockett tarif yang diumumkan oleh Trump dijangka akan mengubah lanskap perdagangan global yang mana barangan pengguna seperti iPhone berkemungkinan menerima impak terbesar.
Katanya, impak itu membabitkan peningkatan sekitar 30% hingga 40% sekiranya syarikat membuat keputusan untuk memindahkan kos tersebut kepada pengguna.
Kebanyakan iPhone dihasilkan di China, negara yang dikenakan tarif 54%.
Menurut penganalisis itu, sekiranya nilai tarif itu kekal, maka Apple perlu membuat pilihan sama ada menyerap kos tambahan itu atau memindahkannya kepada pengguna.
“Pelaksanaan tarif terhadap China ini bertentangan dengan jangkaan kami bahawa Apple tidak akan begitu terkesan seperti sebelum ini,” katanya dalam nota penyelidikan.
Terdahulu, saham syarikat itu ditutup menyusut 9.3% pada Khamis minggu lalu, paras terendah sejak Mac 2020.
Apple menjual lebih 220 juta iPhone setahun, yang mana pasaran terbesarnya di AS, China dan Eropah.
Menurut jangkaan itu, model iPhone 16 paling murah yang dilancarkan di AS pada harga AS$799 (RM3,590) berpotensi naik kepada AS$1,142 (RM5,133), apabila kos dijangka meningkat sebanyak 43%, demikian menurut penganalisis tersebut.
Sementara itu, model iPhone 16 Pro Max dengan memori 1 terabait yang kini dijual pada AS$1,599 (RM7,188) berpotensi dijual pada harga AS$2,300 (RM10,339) sekiranya 43% peningkatan kos itu dipindahkan kepada pengguna. – Aljazeera
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi