Oleh Akmal Ahmad
BANGI,10 SYAWAL – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tapah, Abdul Muhaimin Malek, 43, diumumkan sebagai calon parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang akan berlangsung pada 26 April ini.
Perkara itu diumumkan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam majlis pengisytiharan calon di Dataran Awam Tapah Road, Tapah, malam tadi.
Pengetua Maahad Tahfiz ADDIN Air Kuning sejak tahun 2015 itu berpengalaman luas dalam dunia pendidikan, dakwah dan pembangunan insan dan beliau juga merupakan penggubal silibus kurikulum Yayasan ADDIN serta guru tauliah dan takmir Negeri Perak.
Pernah menuntut ilmu di Syria dan kemudiannya di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’azzam Shah (UniSHAMS), Kedah, beliau telah mengabdikan hidupnya dalam menyemai ilmu dan nilai Islam di sekolah, masjid dan pelbagai lapangan masyarakat.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning adalah pada 26 April ini dengan penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April ini.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga jam 11.59 malam 25 April ini.
Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRK itu membabitkan daftar pemilih tambahan Januari 2025 yang dikemas kini hingga 22 Februari lalu.
Berdasarkan DPPR berkenaan, seramai 31,897 pemilih terdiri daripada 31,315 pengundi biasa dan 582 anggota polis serta pasangan.
PRK DUN Ayer Kuning adalah PRK ke-13 selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) iaitu PRK Parlimen Padang Serai (Kedah), PRK DUN Tioman (Pahang), PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu), PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor) serta PRK DUN Pelangai (Pahang).
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi