BANGI, 9 SYAWAL — Kerajaan Negeri Perlis hari ini gagal mengembalikan status agama Islam kepada tiga anak Loh Siew Hong sebagaimana diputuskan Mahkamah Rayuan.
Tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Malaya Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim sebulat suara menolak permohonan itu, lapor Berita Harian.
“Kami tidak menemui ketidakadilan dalam keputusan itu. Permohonan ini tiada merit,” katanya dalam penghakiman bersama Datuk Nordin Hassan dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.
Mahkamah Persekutuan pada Mei tahun lalu menolak permohonan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPS) dan kerajaan Perlis untuk mengembalikan agama anak Siew Hong.
MAIPS dan kerajaan Perlis memohon untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada Januari tahun lalu yang membenarkan rayuan Siew Hong.
Mahkamah Rayuan membatalkan penukaran agama sepihak anak kembarnya berusia 16 tahun dan anak lelakinya berusia 13 tahun untuk mengembalikan status Hindu.
Loh dan Muhammad Nagahswaran Muniandy melangsungkan perkahwinan pada 2008 namun berpisah pada Disember 2019.
Nagahswaran dilaporkan membawa lari tiga anak-anak itu dan menukarkan agama mereka kepada Islam pada Julai 2020.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi