Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 9 SYAWAL — Donald Trump menolak permohonan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu untuk mengurangkan tarif timbal balik yang dikenakan ke atas negara haram itu.
Presiden Amerika Syarikat (AS) itu berkata banyak bantuan yang sudah disalurkan kepada Israel termasuk AS$4 bilion (RM17.9 bilion) setahun, lapor Economic Times.
“Mungkin tidak. Jangan lupa kami sudah banyak membantu Israel. Kami berikan Israel AS$4 bilion setahun. Sangat banyak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Netanyahu di pejabatnya di Washington, AS semalam.
Netanyahu berkata Trump wajar mempertimbangkan cadangan itu bagi mengimbangkan defisit perdagangan di antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri Israel itu merupakan pemimpin negara luar pertama yang mengunjungi Trump selepas pengumuman tarif timbal balik minggu lalu.
AS mengenakan tarif import 17 peratus kepada Israel walau terdapat beberapa buah negara dikenakan tarif lebih rendah sebanyak 10 peratus.
Dalam perkembangan lain, Trump turut mengulangi komitmennya untuk mengambil alih Gaza untuk dibangunkan sebagai projek hartanah.
Katanya, AS mampu menstabilkan pergolakan di Gaza dengan memindahkan rakyat Palestin ke beberapa negara lain.
“AS akan menjamin keamanan di sana. Mengawal dan memiliki Semenanjung Gaza adalah perkara yang menakjubkan,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi