Oleh Akmal Ahmad
BANGI, 8 SYAWAL — PERKASA menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat anasir negatif pihak tertentu yang mahu menghidupkan semula fahaman komunis di negara ini.
Ketua Penerangannya, Irwan Fahmi Ideris berkata kerajaan turut diminta menyiasat dakwaan persatuan yang sedang giat mempromosikan agenda Dasar Satu China.
“PERKASA dengan tegas mengecam tindakan individu atau pihak tertentu yang menghidupkan semula Parti Komunis di sekolah serta tempat kerja untuk merekrut ahli baharu.
“Sebagai sebuah negara yang merdeka, segala anasir untuk menghidupkan semula fahaman komunis harus dibanteras dan tidak dibenarkan bertapak terus di bumi Malaysia.
“PERKASA tidak menolak segala kerjasama dua hala kerajaan Malaysia dan China tetapi jangan sampai memperjudikan masa depan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan mengulas klip tular sebuah pertubuhan yang dikenali sebagai Persatuan Promosi Penyatuan Secara Aman Satu China di Malaysia.
Katanya, kerajaan harus belajar dari Palestin yang asalnya aman dan damai tetapi akhirnya menjadi padang jarak padang tekukur akibat kekejaman tentera Israel.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi