Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 8 SYAWAL — Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan Kerajaan Negeri Selangor akan menanggung sewa maksimum RM2,000 sebulan bagi 613 keluarga mangsa letupan gas di Putra Heights.
Menteri Besar Selangor berkata peruntukan sebanyak RM7.35 juta itu akan ditanggung selama enam bulan untuk penyewa rumah di kawasan berhampiran, lapor Utusan Malaysia.
“Bagi kategori pertama, sebanyak 81 rumah disahkan musnah sepenuhnya, manakala 81 lagi ditakrifkan sebagai separa musnah dan 57 terbakar tetapi tidak mengalami kesan struktur.
“Baki sebanyak 218 rumah diperiksa tidak terjejas dan kita membesarkan kawasan terkesan daripada 290 meter persegi dan kali ini 325 meter persegi.
“Sehingga hari ini sebanyak 151 rumah yang dimuktamadkan semalam disahkan selamat dan pemiliknya dibenarkan pulang ke kediaman masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Selangor di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Katanya, bantuan itu akan dimuktamadkan seawal minggu depan selepas pengesahan maklumat mangsa dengan pengagihan bantuan awal bermula hari ini.
“Mungkin dalam minggu hadapan kita akan muktamadkan dan kita akan serahkan kepada semua ketua isi rumah supaya mereka boleh menggunakan wang bantuan tersebut.
“Selepas enam bulan mungkin sebahagian mereka akan dibenarkan pulang kerana cuma alami kerosakan kecil.
“Kecuali mereka yang berdepan kemusnahan penuh mungkin akan mengambil masa [menyewa] yang lebih panjang [lebih enam bulan],” katanya.
Sebanyak 437 rumah dikenal pasti sebagai angka muktamad oleh pasukan teknikal hingga pendaftaran di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ditutup pada enam petang semalam.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi