Kadir gesa kerajaan waspada tarif timbal balik AS

Oleh: Balqis Idris

 

BANGI, 8 SYAWAL — Wartawan veteran menggesa kerajaan mengambil langkah berjaga-jaga susulan pengumuman tarif timbal balik yang diumumkan Amerika Syarikat (AS).  

 

Datuk A Kadir Jasin berkata Presiden AS Donald Trump dan sekutunya menunjukkan  kekuasaan yang bakal mengancam kestabilan ekonomi dunia termasuk Malaysia.

 

“Ramai ahli ekonomi dan penggiat pasaran modal memberi amaran mengenai kemungkinan berlakunya kemelesetan ekonomi global bermula dengan ekonomi AS sendiri.

 

“Tanda-tanda awal sudah ada. Sejak 2 April lalu, harga saham AS merosot dengan teruk. Indeks Standard & Poor’s 500 (S&P) jatuh 17 peratus dan komposit Nasdaq jatuh 22 peratus.

 

“Soalannya sekarang, apakah yang akan dilakukan oleh kerajaan Malaysia bagi menangani kesan buruk tarif AS itu?” soalnya menerusi coretan di laman Facebook miliknya hari ini. 

 

Trump minggu lalu mengumumkan tarif timbal balik 24 peratus terhadap barangan import dari Malaysia.

 

Selain Malaysia, Trump turut mengumumkan kadar tarif lebih tinggi terhadap beberapa negara Asia Tenggara lain yang berdagang dengan AS.

 

Dalam perkembangan sama, Kadir turut mengingatkan ancaman terhadap peluang pekerjaan di Malaysia semakin serius.

 

“Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa (MICCI) memberi amaran cukai timbal balik yang dikenakan boleh menyebabkan kehilangan 50,000 peluang pekerjaan,” katanya.

 

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata kerajaan memandang serius kenaikan tarif tersebut dan sedang giat berunding dengan AS. 

 

Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kementeriannya tidak bercadang untuk mengenakan tarif balas sebaliknya memilih untuk memanfaatkan perjanjian sedia ada.

 

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Kebakaran Putra Heights: Mangsa pertikai pengurusan krisis

Next Post

Kesatuan Ulama seru jihad, JAKIM mahu bincang dulu

Related Posts