Oleh: Azzman Jamal
BANGI, 5 SYAWAL — Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menuntut supaya pihak yang bertanggungjawab dalam insiden kebakaran saluran paip gas Petronas di Putra Heights pada 1 April lepas dinamakan dalam laporan awal yang akan dikeluarkan hari ini.
Beliau berkata, langkah itu bagi merawat kepercayaan rakyat terhadap kerajaan negeri dan Suruhanjaya Tenaga.
Wakil rakyat daripada PAS itu turut menuntut supaya laporan berkenaan dimumukan secara telus dan boleh diakses umum.
“Audit menyeluruh terhadap semua saluran paip gas di kawasan penempatan perlu dimulakan serta-merta.
“Sistem aduan penduduk perlu diperkasa dan dijadikan indikator awal dalam sebarang pelan mitigasi risiko,” katanya dalam hantaran di Facebook semalam.
Dalam pada itu, Fadhli berkata, terdapat satu lagi persoalan yang membangkitkan kegelisahan orang ramai iaitu berhubung kerja-kerja pembinaan dan pembangunan infrastruktur yang sedang giat dijalankan berhampiran lokasi paip gas tersebut.
Katanya, menurut maklumat yang tular di media sosial, terdapat beberapa aktiviti pembangunan melibatkan kerja tanah dan infrastruktur utiliti yang berlangsung hanya beberapa meter dari laluan paip gas itu.
“Persoalannya, adakah kerja-kerja itu dijalankan dengan pematuhan penuh kepada pelan utiliti bawah tanah yang telah diluluskan?
“Dalam bidang kejuruteraan utiliti, Utility Detection Survey (UDS) dan Utility Mapping with Ground Penetrating Radar (GPR) adalah keperluan asas sebelum kerja pengorekan dijalankan di kawasan yang berpotensi mengandungi saluran gas atau kabel voltan tinggi.
“Jika pihak kontraktor pembinaan gagal melakukan verifikasi ini secara menyeluruh, risiko gangguan pihak ketiga kepada struktur paip gas akan meningkat dan ini merupakan salah satu punca utama kebocoran atau kegagalan saluran paip dalam kes-kes global sebelum ini,” ujarnya.
Justeru, Fadhli berkata, rakyat berhak bertanya sama ada pihak berkuasa tempatan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air dan Tenaga telah mengesahkan kelulusan penuh pelan pembinaan dan pelang pengurusan risiko sebelum membenarkan projek tersebut berjalan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, satu lagi tanda tanya ialah tindakan beberapa agensi dan syarikat utiliti yang mula mengeluarkan kenyataan awal, seolah-olah mahu membersihkan diri dari sebarang tanggungjawab.
Menurut beliau tindakan sebegitu hanya menimbulkan lebih banyak rasa curiga berbanding keyakinan dalam kalangan masyarakat.
“Kepada YAB Menteri Besar Selangor, rakyat sedang tunggu jawapan ini.
“Saya yakin dalam tempoh 72 jam yang dijanjikan itu bukan ‘pandai-pandai’ Menteri Besar untuk tetapkan.
“Ia tentunya dari agensi-agensi berwajib yang berkaitan. Jadi, petunjuk awal tentu sudah diperolehi menjelang esok (hari ini).
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi