Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 5 SYAWAL — Agensi Pertahanan Awam Gaza melaporkan 97 mangsa terbunuh dalam serangan udara Israel 24 jam lalu yang terdiri daripada 19 kanak-kanak.
Jurucakapnya, Mahmud Bassal berkata, 31 penduduk Gaza terbunuh selepas sebuah sekolah yang dijadikan pusat perlindungan dibedil Zionis, lapor AFP.
“Antara mangsa yang hilang ialah seorang wanita hamil mengandung anak kembar,” katanya yang menganggarkan lebih 100 mangsa cedera dalam serangan itu.
Mahmud berkata ramai wanita dan kanak-kanak terkorban manakala enam orang masih belum ditemui dalam serangan di Sekolah Dar Al-Arqam di timur laut Bandar Gaza.
Tentera Penjajah Israel (IOF) bagaimanapun mendakwa serangan itu menyasarkan “pengganas” utama Palestin yang berlindung di Pusat Arahan dan Kawalan Hamas di Gaza.
Katanya, IOF tidak dapat mengesahkan sama ada serangan udara mereka menyasarkan sekolah yang menjadi tempat perlindungan rakyat Gaza.
“Pusat Arahan dan Kawalan digunakan oleh pengganas untuk merancang dan melaksanakan serangan terhadap orang awam dan tentera Israel,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Hamas mengecam serangan itu dan mendakwa Israel menyasarkan orang awam yang tidak bersalah.
Katanya, Israel nekad mahu meneruskan agenda pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.
Sekolah dan kawasan selamat lain menjadi tempat perlindungan rakyat Gaza selepas kediaman mereka dibedil Zionis sejak Taufan Al-Aqsa.
Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan seramai 1,163 rakyat Palestin terbunuh sejak Israel kembali melancarkan serangan pada 18 Mac lalu.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi