Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 30 MAC — Rakyat Palestin hari ini meraikan Aidilfitri dalam suasana kedaifan selepas kekurangan bekalan makanan sejak serangan semula Israel.
Solat sunat Aidilfitri tetap diadakan pagi tadi di balik runtuhan masjid menandakan sempurnanya sebulan puasa Ramadan, lapor ABC.
“Ini Aidilfitri yang suram. Kami kehilangan orang tersayang dan anak-anak malah kehidupan dan masa depan.
“Kami kehilangan pelajar, sekolah dan institusi. Kami hilang segalanya,” kata Adel Al-Shaer selepas mendirikan solat di Deir Al-Balah.
Adel kehilangan 20 ahli keluarganya dalam serangan Israel termasuk adik sepupu yang meninggal dunia beberapa hari lalu.
Aidilfitri tahun ini terus menyimpan detik duka selepas rakyat Gaza dinafikan peluang untuk berhari raya.
Hari Raya biasanya menjanjikan kegembiraan dengan umat Islam berkumpul menjamu selera dan memakai baju baharu namun tidak berlaku kepada dua juta penduduk Gaza.
Sementara itu, seorang lagi penduduk yang hadir menunaikan solat Aidilfitri, Saed Al-Kourd berkata Hari Raya kali ini sekadar menggembirakan kanak-kanak.
Katanya, penduduk Gaza masih berlapar selepas Israel menyekat bantuan kemanusiaan sejak empat minggu lalu.
“Masih berlaku pembunuhan, pengusiran, kebuluran dan operasi tentera.
“Kami keluar menunaikan solat sekadar memberi kegembiraan kepada anak-anak. Tetapi di mana rayanya? Tiada Hari Raya,” katanya.
Israel kembali melancarkan serangan ke atas Gaza minggu lalu selepas Hamas enggan melanjutkan gencatan senjata fasa pertama.
Hamas dilaporkan masih memiliki 59 tahanan dengan 24 daripanya dipercayai masih hidup.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi