Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 29 MAC — Pendakwah bebas Firdaus Wong mengalu-alukan siasatan terbuka terhadap pertubuhan dakwah yang diasaskannya Multiracial Reverted Muslims (MRM).
Firdaus berkata MRM sudah diaudit oleh agensi bertauliah bagi memastikan ketelusan dalam pengurusan kewangan NGO itu.
“Lapor pada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pihak berkuasa? Kami alu-alukan siasatan terbuka terhadap MRM.
“Tetapi pihak yang memfitnah saya dan MRM perlu bersiap sedia menyelesaikannya di mahkamah andai masih berdegil dengan fitnah mereka.
“Saya tidak akan membalas setiap pertanyaan pentaksub dan laskar siber. Saya akan balas di mahkamah dan mereka perlu tunjukkan bukti ke atas fitnah dan tuduhan mereka itu,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi coretan di laman Facebook miliknya hari ini mengulas dakwaan warga maya berhubung aktiviti yang dijalankan MRM.
Seorang warga maya hari ini mendakwa menerima surat tuntutan (LOD) daripada Firdaus selepas mempersoalkan MRM yang didakwa menjadi amil zakat.
Semakan pengguna media sosial itu bagaimanapun mendapati NGO berkenaan tidak dilantik sebagai amil Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan.
Katanya, Firdaus bebas mengemukakan bukti sama ada dirinya atau MRM dilantik sebagai amil zakat oleh PPZ negeri lain.
“Kenapa letak nombor akaun syarikat untuk aktiviti derma dan zakat? Adakah syarikat layak kutip derma?
“Kenapa akaun syarikat ini sudah tidak wujud. Adakah bermakna salah apabila guna akaun syarikat untuk kutip derma?
“Sebaiknya saudara jawablah benda ini secara terbuka. Berbanding hendak takutkan orang dengan LOD. Apa pun pasukan saya sentiasa bersedia,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi