Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 27 RAMADAN — Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif (MINDA) menuntut penjelasan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung pemakaian lencana jalur gemilang di sekolah.
Timbalan Pengarahnya, Dr Anuar Ahmad berkata berdasarkan semakan, KPM tidak mewajibkan pemakaian lencana itu sekaligus mengundang pembaziran kepada dana kerajaan.
“Pada saya, garis panduan ini sendiri kabur dan tidak jelas. Saya pasti ibu bapa juga akan keliru dengan arahan ini. Sebenarnya, pemakaian lencana Jalur Gemulang ini wajib atau sukarela sahaja?
“Apakah KPM akan berbelanja besar? Mengikut anggaran kasar Afzan Shaari sekitar RM20 juta untuk sediakan lencana Jalur Gemilang pada semua murid. Setiap dari lima juta murid akan mendapat dua lencana.
“Soalnya, berbaloikah KPM belanja besar jika program ini hanya bersifat sukarela? Murid hendak pakai boleh, tidak pakai pun boleh,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi coretan di laman Facebook miliknya hari ini mengulas saranan KPM untuk pemakaian lencana Jalur Gemilang di sekolah.
Katanya, KPM perlu serius menguatkuasakan pemakaian lencana Jalur Gemilang agar usaha itu tidak dilihat sia-sia.
“Tidak puas hati saya rujuk pekeliling KPM dan garis panduan pemakaian lencana Jalur Gemilang. Rupanya, tidak ada sepatah pun perkataan ‘mewajibkan’. Maksudnya tidak wajiblah.
“Kalau anggaran RM20 juta benar, alangkah lebih baik diberikan bantuan pendidikan pada murid miskin RM500 seorang, boleh membantu lebih 40,000 orang.
“Atau kalau sediakan TV Pintar 85 inci dengan RM20 juta mungkin akan ada 4,000 unit TV Pintar di dalam kelas yang boleh dimanfaat oleh jutaan murid di seluruh negara,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi