Oleh: Azzman Jamal
BANGI, 26 RAMADAN –
Dakwaan kerajaan memberi pampasan RM 2 juta kepada Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman adalah tidak benar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata, kerajaan tidak pernah menjanjikan atau meluluskan sebarang bentuk pampasan kepada pihak kuil seperti yang digambarkan pendakwah bebas, Firdaus Wong.
“Malahan, tiada sebarang perjanjian atau ‘deal’ lain dibuat daripada penyelesaian yang telah saya umumkan secara rasmi semalam (kelmarin).
“Saya ingin menegaskan bahawa keputusan yang diambil adalah hasil perbincangan secara harmoni antara semua pihak yang terlibat dan bersifat menang-menang,” katanya dalam kenyataan semalam.
Zaliha berkata, keutamaan pada masa ini ialah pembinaan masjid yang telah tertangguh sejak 2020 di atas tanah milik swasta tersebut dapat diteruskan seperti yang dirancangan.
Tambahnya, pihak kuil juga bersetuju untuk berpindah ke lokasi alternatif yang telah dikenal pasti.
“Saya juga ingin menegaskan sekali lagi bahawa kes ini tidak boleh dijadikan sebagai rujukan (precedent case) untuk mana-mana kes lain pada masa akan datang.
“Ia adalah penyelesaian khusus kepada isu tersebut yang ditangani dengan penuh hikmah, mengikut lunas undang-undang dan mempertimbangkan sensitiviti pelbagai pihak,” ujarnya.
Tambahnya, semua pihak digesa menghentikan polemik isu tersebut.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi