BANGI, 25 RAMADAN —
Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim menafikan dakwaan
pembelian pesawat baharu Boeing oleh Malaysia Aviation Group (MAG) mempunyai tujuan tertentu.
Beliau berkata, urusan pembelian MAG dilakukan mengikut proses yang ditetapkan tanpa pelanggaran undang-undang dan tidak seharusnya dipersoal terutamanya dari pihak pembangkang, demikian menurut laporan Bernama.
“Proses pembelian kapal terbang ini memakan masa selain perlu diselaras mengikut harga dan sebagainya. Cuma, baru-baru ini ia dipersetujui oleh semua pihak.
“Sebelum ini pun memang dasar dan pendekatan kita menggunakan pesawat Boeing ini. Jadi, apa masalahnya dan tidak timbul isu pembelian pesawat ini ada kepentingan tertentu termasuk untuk (Perdana Menteri) jumpa Presiden Amerika Syarikat (AS),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Iftar Perdana dan Penyerahan Sumbangan Kasih MADANI Aidilfitri Parlimen Padang Rengas susulan kenyataan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau.
Terdahulu, Dominic Lau dalam kenyataannya berharap pembelian sebanyak berjumlah 30 pesawat bukan pertukaran yang membolehkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu dengan Presiden AS Donald Trump.
Menurutnya, tindakan ini menimbulkan persoalan apabila syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) secara mendadak membuat pembelian pesawat ini ketika Anwar masih gagal bercakap dengan Trump seperti disahkan bekas duta, Nazri Aziz.
Dalam pada itu, Menteri Pelaburan Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menjelaskan pembelian pesawat itu adalah pelaburan untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam industri penerbangan global.
Menurutnya, usaha itu turut menyokong operasi Boeing Composites Malaysia (BCM), yang menghasilkan struktur pesawat Boeing di Malaysia dan mempunyai kira-kira 1,000 pekerja rakyat tempatan setakat ini.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi