Oleh Balqis Idris
BANGI, 25 RAMADAN — Sekretariat Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah mengkritik tindakan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sebagai pemimpin kecelaruan prinsip susulan tindakannya yang memuji Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dalam satu majlis di Tuaran, minggu lalu.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu berkata, Anwar bersikap hipokrit kerana dahulu lantang mengkritik kepimpinan Sabah berhubung isu rasuah, namun kini dilihat seperti merestui kepimpinan yang terpalit kontroversi itu.
“Adalah mustahil seorang Perdana Menteri itu terlalu dungu untuk tidak mengikuti perkembangan skandal rasuah Sabah yang melibatkan sejumlah ADUN Sabah, Speaker DUN Sabah, Ketua Menteri Sabah termasuk Tun Musa Aman.
“Beliau menekankan kepentingan menjaga kestabilan politik, kononnya untuk tumpuan ke arah transisi tenaga, pelan perindustrian dan Artificial Intelligence yang sedang merombak sistem dunia, tetapi dilihat membisu dan seakan merestui skandal rasuah dan penyelewengan yang sedang menggemparkan rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, tular rakaman membabitkan Hajiji Noor bersama lapan orang lagi ADUN dan seorang speaker Dewan Undangan Negeri Sabah yang terpalit dakwaan rasuah.
Namun disangkal oleh Ketua Menteri Sabah tersebut menyatakan video berkenaan bertujuan melemahkan pentadbirannya.
Selain itu, NGO itu turut mengingatkan bahawa Anwar dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) sebelum ini sering datang ke Sabah untuk mengkritik tatakelola negeri namun kini berubah setelah dilihat mesra bersama pemimpin tersebut.
“Dulu Anwar dan pemimpin PH bergilir-gilir datang ke Sabah untuk mempertikai tatakelola negeri, pembangunan infrastruktur, isu penyelewengan, bahkan beliau antara pemimpin politik yang paling lantang mempersoal kes rasuah Musa Aman.
“Sekarang beliau tersenyum bergambar dengan Musa Aman di Istana Negara,” tambahnya/
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi