Oleh: Azzman Jamal
BANGI, 25 RAMADAN – Presiden Parti Bersatu untuk Hak Rakyat Malaysia (Urimai), P Ramasamy mendakwa jawatankuasa Kuil Dewi Sri Pathrakaliaman telah ditekan supaya bersetuju berpindah ke lokasi baharu.
Beliau berkata, jawatankuasa itu selama bertahun ditekan untuk berpindah dengan desakan terakhir datang daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.
“Tekanan terakhir datang apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri mendesak pemindahannya dengan menggunakan ahli politik India yang menjadi talibarut atau Mandor untuk menekan komuniti Hindu.
“Secara tiba-tiba sebuah kuil yang wujud lebih lama daripada sistem perundangan moden Malaysia diisytiharkan sebagai haram.
“Akibatnya? Kuil ini terpaksa berpindah, memberi laluan kepada pembinaan Masjid Madani yang bakal dirasmikan oleh Anwar sendiri pada 27 Mac 2025,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Mengulas lanjut, Ramasamy berkata isu seperti yang berlaku di Kuil Dewi Sri Pathrakaliaman adalah bukan kejadian terpencil dan mendakwa kuil serta tokong di kawasan bandar sering menjadi sasaran perobohan dan pemindahan atas alasan teknikal undang-undang atau projek pembangunan.
Tambah beliau, keputusan disebalik isu kuil itu mendedahkan hipokrasi retorik Anwar mengenal kepelbagaian dan pluralisme.
Ujarnya, keghairahan Anwar untuk menunjukkan komitmen kepada ketuanan Melayu-Islam hanya mengasingkan lagi komuniti India yang pernah mempercayainya.
“Apa yang Anwar gagal sedari ialah usahanya untuk menarik sokongan pengundi Melayu-Islam adalah sia-sia.
“Landskap politik telah berubah; majoriti Melayu sudah pun berpihak kepada Perikatan Nasional (PN).
“TIndakan Anwar hanya mengkhianati dan mengasingkan komuniti yang pernah berdiri di belakangnya,” katanya.
Ramasamy berkata, tempoh singkat Anwar berkuasa telah menyingkap keutamaan sebenarnya.
Dakwanya, kepercayaan dalam kalangan komuniti India terhadapnya telah musnah dan satu-satunya penyokong Anwar yang tinggal hanyalah mereka yang mendapat ganjaran jawatan kecil dalam pentadbirannya.
“Jika pola ini berterusan, mungkin kerajaan patut meletakkan kuil dan tokong Hindu di atas roda, supaya lebih mudah dipindahkan setiap kali kepentingan politik atau komersial menuntutnya,” tambah beliau.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi