Oleh Kamil Awang
KUALA LUMPUR, 25 RAMADAN — Parti BERJASA kesal dengan tindakan kerajaan menempah 30 pesawat Boeing 737 yang akan diterima menjelang 2030.
Presidennya, Zamani Ibrahim berkata keputusan itu menunjukkan kerajaan hari ini dilihat bersekongkol dengan Israel dalam membunuh rakyat Palestin.
“Jika dengan perbelanjaan itu pihak musuh boleh memberi peruntukan kepada Israel untuk membunuh rakyat Gaza, ini kita perlu elakkan.
“Kita bersekongkol untuk memperkukuh Israel membantai orang Palestin. Kita perlu membantu banyak sudut seperti kemanusiaan dan boikot membantu kekuatan ekonomi.
“Jangan kita beli produk keluaran mereka. Kita mesti tengok kesan kepada kekuatan ekonomi musuh. Dengan kekuatan ekonomi itulah mereka membunuh rakyat Palestin,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada TV Pertiwi mengulas keputusan kerajaan menempah 30 pesawat Boeing 737 minggu lalu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembelian pesawat itu akan memodenkan Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG) dan mengukuhkan kedudukan Malaysia.
Katanya, pelaburan itu menandakan komitmen MAG untuk terus maju dan memastikan masa depan yang cerah dalam industri pengangkutan udara negara.
Zamani berkata kerajaan seharusnya berunding dengan pembangkang sebelum membuat keputusan besar membabitkan pelaburan negara.
Katanya, pelaburan berkenaan dilihat sekadar menguntungkan ekonomi Israel sekaligus mengancam keselamatan rakyat Gaza.
“Kerajaan perlu meminta pandangan. Di dalam Parlimen itu bukan kerajaan sahaja tetapi ada pembangkang untuk semak dan imbang.
“Pandangan pembangkang hendaklah dilumatkan supaya ia memberi manfaat kepada negara dan umat Islam. Parlimen bukan tempat bergaduh tetapi tempat mencari penyelesaian.
“Ini bukan setakat membawa masuk kemajuan dalam negara tetapi kesan kepada musuh Islam yang menggunakan kekuatan ekonomi membantai orang Islam di Palestin.” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi