Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 24 RAMADAN — UMNO Kelantan menegaskan tidak akan bekerjasama dengan PAS melalui pintu belakang dalam usaha membentuk kerajaan negeri.
Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata UMNO setia bersama kerajaan campuran bagi mencapai matlamat yang sama, lapor Sinar Harian.
“Kalau mereka ingin mengadakan gerakan melalui pintu belakang dengan menggoda UMNO untuk menjatuhkan kerajaan ketika ini, mereka membuat tanggapan yang silap.
“Mesej ini jelas, UMNO tidak akan sesekali mengkhianati rakan dasar kami,” katanya kepada pemberita semalam.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Makan Colek bersama media Kelantan yang turut dihadiri kepimpinan UMNO negeri.
Katanya, PAS sebelum ini menolak tawaran untuk menyertai kerajaan campuran namun kini berusaha dengan pendekatan yang tidak telus.
“Kenapa pada waktu Yang di-Pertuan Agong menjemput mereka untuk bersama dalam kerajaan campuran sebelum ini, mereka menolak?
“Sebaliknya, mereka cuba menggoda ahli Parlimen UMNO untuk menyokong mereka dalam usaha membentuk kerajaan yang menafikan mandat rakyat,” katanya.
Ahmad Jazlan berkata, tindakan itu bukan sahaja berlawanan dengan prinsip demokrasi, malah melanggar undang-undang sedia ada.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi