Oleh: Azzman Jamal
BANGI, 24 RAMADAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa isu kuil di Jalan Masjid India yang kecoh baru-baru ini mesti dikendalikan mengikut undang-undang.
Beliau berkata, kuil Dewi Sri Pathrakaliamman didirikan tidak mendapat kebenaran pemilik tanah sama ada sekarang maupun sebelum ini.
“Kuil itu tidak dapat izin daripada tuan tanah sama ada dulu DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) atau sekarang syarikat (yang memilikinya).
“Negara kita negara hukum. Negara hukum ini ikut hukum dan oleh kerana nak jaga hubungan antara kaum, kita lakukan sesuatu yang tidak semestinya perlu iaitu runding dengan baik kerana bagi mereka (penganut agama Hindu) itu tempat kepercayaan dan amalan agama harus dipindahkan dengan baik,” katanya ketika berucap pada Hari Polis ke-218, pagi tadi.
Sebelum ini isu kuil Dewi Sri Pathrakaliamman mendapat perhatian ramai apabila pihak kuil beserta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantah rancangan pemilik tanah, Jakel Group untuk membina sebuah masjid yang akan dinamakan Masjid Madani di lokasi tersebut.
Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan bahawa kuil itu bukan rumah ibadat pertama yang perlu dipindahkan atau dirobohkan kerana melanggar undang-undang.
Jelas beliau, terdapat masjid di Lahad Datu dan Sentul serta surau di Perak dirobohkan kerana melanggar peraturan.
“Saya ambil sikap begini kerana saya ambil pendekatan yang sangat sabar. Saya minta supaya selesai dengan baik.
“Walaupun dia salah, tempatnya salah, kita kata, angkat baik-baik, pindah. Syarikat beri ganti rugi, saya tak tahu ganti rugi bersebab apa, kemudian diberikan tempat baharu dengan ihsan DBKL,” ujarnya.
Namun begitu, Anwar turut mengingatkan bahawa tidak semestinya semua kuil yang didirikan tanpa mendapat kebenaran pemilik tanah akan diberikan tanah ganti oleh kerajaan.
“Kita ada berapa? 130 kuil yang tidak ada permit di Wilayah Persekutuan atau Kuala Lumpur? 300 di Kedah, entah berapa ratus di Perak. Tidak boleh begitu.
Dalam pada itu, Anwar turut mengesahkan bahawa beliau akan merasmikan majlis pecah tanah Masjid Madani yang dijadual berlangsung pada Khamis ini.
“Saya akan teruskan untuk meletakkan batu asas masjid pada 27 hari bulan (Khamis ini). Saya minta jawatankuasa kuil runding dengan baik. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), syarikat berkenaan, DBKL.. semua itu diminta sederhana, sopan dan bincang dengan baik.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi