Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 23 RAMADAN — Peguam Shamsher Singh Thind mencadangkan MIC memberikan tanah ibu pejabatnya sebagai lokasi penempatan semula Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.
Shamsher berkata MIC wajar mempertimbangkan cadangan tersebut selepas parti kaum India itu dilihat tidak lagi relevan.
“Memandangkan MIC sudah tidak lagi relevan, jadi saya cadangkan bagi saja Ibu Pejabat MIC di Jalan Rahmat kepada kuil tersebut.
“Tanah yang luas saya percaya cukup untuk membina semula kuil yang besar. Selesai masalah!” katanya menerusi coretan di laman Facebook miliknya semalam.
Timbalan Presiden MIC menggesa semua pihak tidak menggelar Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman sebagai kuil haram kerana ia dibekalkan dengan bekalan elektrik dan air.
Datuk Seri M Saravanan berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan dokumen sokongan bagi kuil dilengkapi kemudahan itu.
Shamsher berkata ahli parlimen kerajaan campuran sendiri berselisih pendapat berhubung tempoh kewujudan kuil itu di Kuala Lumpur.
Katanya, MIC juga cuba menangguk di air keruh apabila tidak mengambil sebarang tindakan untuk mendapatkan hak pemilikan tanah bagi kuil itu.
“Satu ahli parlimen kerajaan campuran kata kuil dipindah dari tempat lain ke tanah sekarang pada 2008.
“Satu lagi ahli parlimen kata kuil tidak dipindah tetapi cuma sebahagian daripada struktur kuil dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan jalan.
“Lagi mereka jelaskan, lagi teruk jadinya. Fakta pun sudah tidak betul. Macam mana hendak meyakinkan orang lain?” soalnya.
Beliau berkata MIC dilihat tidak konsisten apabila cuba menjadi juara di saat Jakel sudah mempunyai pemilikan penuh ke atas tanah itu.
Katanya, usaha membantu kuil itu patut dibuat lebih awal agar tapak asal kuil itu yang dikatakan melebihi 100 tahun tidak jatuh ke tangan orang lain.
“MIC sepatutnya sudah lama bantu kuil berusia 130 tahun ini mendapatkan tanah yang kekal. Masa itu tanah milik DBKL, kenapa tidak bagi sahaja kepada kuil tersebut?
“Sudah 10 tahun Jakel membeli tanah tersebut dan berunding dengan kuil untuk memindahkannya. Kenapa tidak selesai juga? Sekarang baru hendak kalut?” soalnya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi