Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 23 RAMADAN — Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang menyiasat dakwaan seorang guru meminta pelajarnya pulang ke China kerana tidak fasih berbahasa Melayu.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata KPM sedang membuat penelitian secara mendalam selain siasatan yang dijalankan pihak polis, lapor BERNAMA.
“Saya tegaskan bahawa KPM tidak kompromi dalam soal perkauman yang berlaku di sekolah, baik melibatkan guru mahupun pelajar atau mana-mana pegawai.
“Dalam kes ini, siasatan sudah pun berlangsung dan tindakan akan kita lakukan berdasarkan kepada siasatan itu,” katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.
Tular klip audio seorang guru mengaku meminta pelajar sebuah sekolah menengah untuk pulang ke China kerana tidak memahami bahasa Melayu.
Dalam perkembangan lain, Fadhlina memaklumkan KPM sedang mengumpulkan maklumat berkenaan sekolah yang terkesan akibat banjir.
Katanya, sebanyak RM26.4 juta diperuntukkan bagi membaik pulih sekolah di lima negeri yang rosak akibat banjir pada Disember dan Januari lepas.
“Kita akan terus memastikan bahawa sekolah kita ini mendapat bantuan penyelenggaraan dengan segera supaya suasana kondusif dapat kita laksanakan untuk pembelajaran,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi