Oleh: Azzman Jamal
BANGI, 20 RAMADAN – Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat pada kadar 3.25% bagi tahun kewangan berakhir 2024.
Agihan keuntungan itu melibatkan jumlah sebanyak RM2.92 bilion yang akan memberi manfaat kepada lebih 9.54 juta pendeposit.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kadar itu dicapai setelah mengambil kira pelunasan zakat sebanyak 2.5775% atau RM99.35 juta.
“Kadar agihan keuntungan 2024 yang lebih baik ini adalah tertinggi dalam tempoh tujuh tahun sejak 2018.
“Agihan keuntungan ini dipacu prestasi pelaburan yang lebih baik kesan pertumbuhan ekonomi dan pasaran saham negara yang positif pada 2024, di samping usaha berterusan bagi mengawal kos operasi,” katanya hari ini.
Menurutnya, TH merekodkan prestasi pelanburan yang baik pada 2024 dengan mencatatkan pulangan pendapatan 5.08% sebelum pelunasan zakat, Bantuan Kewangan Haji dan kos operasi.
Katanya, bagi tahun kewangan berkahir 31 Disember 2024, TH mencatatkan pendapatan keseluruhan RM4.56 bilion, meningkat 6.29% berbanding RM4.29 bilion yang direkodkan tahun sebelumnya.
“Jumlah aset di bawah pengurusan TH telah mencapai RM95.06 bilion, naik 3.77% daripada RM91.61 bilion pada 2023.
“Peningkatan ini didorong oleh pendapatan dan nilai pelaburan yang lebih kukuh.
“Dana pendeposit pula telah mencecah RM91.75 bilion pada akhir 2024, meningkat berbanding Rm89.01 bilion pada akhir 2023.
TH berkata, prestasi pada 2024 adalah berkadaran dengan alokasi aset strategik yang berlandaskan tahap toleransi risiko dan tahap kecairan yang bersesuaian dengan TH.
Katanya, pelaburan dalam instrumen pendapatan tetap merupakan penyumbang terbesar dan telah menjana 50% daripada jumlah pendapatan keseluruhan manakal 35% disumbangkan oleh pelaburan ekuiti.
“keuntungan daripada dagangan saham telah meningkat pendapatan pelaburan ekuiti, selari dengan prestasi pasaran saham domestik yang memberangsangkan pada 2024.
“Secara keseluruhannya, pelaburan dalam negara telah menyumbang 91.06% daripada pendapatan 2024,” ujarnya.
Pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula 23 Mac ini (Ahad) menerusi platform THiJARI, kaunter TH, kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat serta saluran elektronik bank rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi