Oleh: Azzman Jamal
BANGI, 20 RAMADAN – Pendakwah bebas, Firdaus Wong akan membuat laporan polis selepas menerima ugutan bunuh daripada seorang individu.
Dalam hantaran di akaun Facebook beliau, Firdaus berkata, laporan polis itu akan dibuat selepas solat Jumaat.
Difahamkan, ugutan itu berkait dengan ulasan Firdaus mengenai isu kuil di Jalan Masjid India yang mana isu itu kini meraih perhatian umum.
“Saya akan membuat laporan polis selepas solat Jumaat ke atas seorang individu bernama Mohan Raj Thangaraju yang melakukan ugutan bunuh terhadap saya.
“Saya bercakap soal undang-undang tentang pembinaan kuil haram sebagaimana dilaporkan media dan kajian tetapi mereka pula beremosi tanpa fakta sehingga membuat ugutan bunuh,” katanya menerusi hantaran itu.
Pada masa sama, Firdaus turut berkongsikan rakaman audio berdurasi 28 saat yang didakwa dihantar daripada individu terbabit. Menerusi audio tersebut, jelas kedengaran individu terbabit memberi amaran bahawa ia akan menjadi ‘hari terakhir’ Firdaus hidup sekiranya berjumpa depan mata.
Namun begitu, Firdaus menegaskan bahawa beliau tidak gentar dengan ugutan tersebut.
“Saya ingin nasihatkan sahabat semua, jangan ambil tindakan sendiri membelakangkan undang-undang. Kita sebagai Muslim lebih baik dari itu. Serahkan pada pihak berkuasa,” tambahnya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi