Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 19 RAMADAN — Ketua Polis Negara memaklumkan seorang pegawai farmasi sudah ditangkap susulan melakukan penghinaan terhadap Nabi Muhammmad SAW.
Tan Sri Razarudin Husain berkata Khor Soon Keat ditahan reman dua hari sehingga esok bagi membantu siasatan pihak polis, lapor Utusan Malaysia.
“Kita sudah menahan seorang lelaki berusia 29 tahun bagi membantu siasatan.
“Siasatan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Razarudin berkata Soon Keat ditahan selepas pihak yang membaca komen penghinaan di Facebook membuat laporan polis kelmarin.
“Malah, kenyataan itu turut disokong seorang lagi pengguna Facebook, Chelvi Kolan.
“Kedua-dua komen itu adalah respon kepada kenyataan awal oleh pengguna bernama Zam Kai,” katanya.
Tular komen Soon Keat di media sosial mendakwa “lebih rela menjadi kafir daripada mengikut Pak Arab merogol budak sembilan tahun.”
Komen itu mengundang kemarahan warga maya selepas apa yang dikatakan Soon Keat menggambarkan penghinaan kepada Nabi Muhammad.
Razarudin berkata polis memandang serius perbuatan menghina mana-mana agama di negara ini kerana ia boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam.
Menteri Perpaduan semalam menegaskan tindakan menghina agama bukan sahaja mencabuli keharmonian malah mengundang akibat yang sangat serius kepada ketenteraman awam.
Datuk Aaron Ago Dagang berkata polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan tegas.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi