Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 19 RAMADAN — Perikatan Nasional (PN) bersedia mengambil alih kepimpinan kerajaan dan memperbaiki pentadbiran sedia ada menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PN bersedia menjadi kerajaan menunggu selepas rakyat dilihat semakin menderita, lapor Malaysia Gazette.
“Apakah kita PN dan BERSATU bersedia untuk jadi kerajaan alternatif atau kerajaan menunggu? Tidak perlu sebut apa-apa, kami sentiasa bersedia bila-bila masa.
“Lebih-lebih lagi dalam keadaan yang tertekan, rakyat berdepan situasi yang amat sukar, pendapatan tidak meningkat, inflasi melambung, harga barang naik luar jangkaan.
“Tetapi kalau kita diberikan peluang, kita akan betulkan keadaan, ada dalam perkara-perkara tertentu yang kita ada jawapan kepada semua perkara itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika berucap di majlis berbuka puasa di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya semalam.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 mengumumkan subsidi bersasar untuk petrol RON95.
Rakyat Malaysia kini menantikan pelaksanaan mekanisme tersebut sambil mempersoalkan sejauh mana ia akan memberi manfaat kepada golongan tertentu sahaja.
Muhyiddin berkata pelbagai penelitian dilakukan oleh badan pemikir PN bagi membuktikan kaedah pelarasan subsidi oleh kerajaan campuran hari ini membebankan kehidupan rakyat.
“Kalau kita buat [pelarasan subsidi], kita tidak akan lakukan seperti mana PH lakukan yang membawa kesan berganda, bukan berganda yang baik, berganda yang tidak baik,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi