Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 19 RAMADAN — Menteri Pertahanan Israel menuntut rakyat Palestin menolak perjuangan Hamas dan mendesak baki tahanan dikembalikan kepada negara haram itu.
Israel Katz berkata dengan pengunduran Hamas, rakyat Palestin akan diberikan kebebasan termasuk pilihan meninggalkan Gaza, lapor AFP.
“Dengarlah nasihat Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump. Kembalikan tebusan dan singkirkan Hamas.
“Maka pilihan lain akan terbuka untuk anda termasuk kemungkinan berpindah ke negara lain bagi mereka yang mahu,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi video di media sosial menggesa Hamas meletakkan senjata dan berundur dari Gaza.
Israel kelmarin kembali melancarkan serangan udara di wilayah Gaza selepas proses rundingan fasa dua perjanjian gencatan senjata menemui jalan buntu.
Serangan hari pertama itu mengorbankan lebih 400 rakyat Gaza ketika penduduk masih belum terjaga dari tidur.
Pegawai perubatan di Hospital Palang Merah Rafah, Fred Oola berkata serangan kelmarin menamatkan episod keamanan Gaza yang dikecapi sejak dua bulan lalu.
“Kini, kita dapat melihat suasana panik dengan serangan udara. Kita dapat merasakan kesakitan serta kehancuran pada wajah yang kita bantu,” katanya.
Tentera Penjajah Israel (IOF) memaklumkan operasi darat akan dimulakan di bandar Gaza menuju ke selatan dengan perimeter diluaskan bagi mewujudkan zon penampan.
Hamas kini masih memiliki 58 tahanan Israel yang ditahan pada 7 Oktober 2023 dengan 34 daripadanya disahkan mati oleh IOF.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi