BANGI, 18 RAMADAN – Berita mengenai 10,000 pelajar tidak menghadiri peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lepas adalah satu kebimbangan besar buat masa depan negara.
Tambahan lagi, ia adalah rentetan dari tahun-tahun sebelumnya dan seolah-olah menjadi trend baharu dalam kalangan pelajar sekolah di Malaysia.
Rekod statistik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 2023 mendapati lebih kurang 300,000 pelajar lepasan SPM tidak mahu melanjutkan pelajaran atas beberapa faktor termasuk daya tarikan ekonomi gig.
Selain itu, kebimbangan terhadap isu ini tidak terhenti di situ apabila isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar turut meningkat dari tahun ke tahun disebabkan pelbagai faktor.
Laporan Tinjauan Kesihatan Morbidi Kebangsaan (NHMS) menunjukkan peningkatan tingkah laku untuk membunuh diri dalam kalangan remaja naik daripada 7.9% pada 2012 kepada 13.1% pada 2022.
Justeru, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengambil inisiatif memperkasakan pendidikan negara dengan melaksanakan program bimbingan khas untuk pelajar sekolah menengah yang bakal menduduki SPM pada tahun ini.
Dinamakan sebagai ‘SMARTFUTURE: Kita Semua Boleh!’, program itu dijalankan di dua sekolah iaitu Sekolah Menengah Agama Al-Ittifaqiyyah di Guai, Temerloh dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Bangi
Menurut Pengarah Program itu, Dr Nur Aqillah Ayob, ia bertujuan membantu pelajar meningkatkan prestasi akademik serta membina jati diri yang kukuh menjelang SPM.
“Program ini bertujuan untuk memberi kesedaran awal kepada pelajar mengenai kepentingan persediaan rapi dalam menghadapi cabaran akademik dan kehidupan selepas SPM.
“Ia juga berperanan dalam membantu pelajar mengenalpasti kecenderungan kerjaya mereka, seterusnya memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai laluan pendidikan yang sesuai dengan minat dan potensi diri mereka,” katanya kepada TV Pertiwi.
Menurut hasil saringan yang dijalankan terhadap 134 pelajar hang terlibat, hanya 33% pelajar mempunyai kesihatan mental yang normal manakala 60% pelajar mengalami gejala ‘mild anxiety’, stres, dan kemurungan.
30% pelajar daripada jumlah saringan itu mengalami simptom kategori teruk dan sangat teruk dengan 12% memerlukan intervensi profesional dan 4% telah cuba membunuh diri atau mempunyai idea mencederakan diri sendiri.
Dr Aqillah berkata, antara aktiviti utama yang dijalankan program ini adalah Eksplorasi Akademik yang merangkumi lima subjek teras SPM.
“Selain itu, program ini juga turut menyediakan Bimbingan Halatuju Kerjaya yang memberi pelajar peluang untuk berbincang dengan sukarelawan mengenai pilihan jurusan dan kerjaya, syarat-syarat kemasukan ke universiti.
“Dalam menghadapi dunia yang semakin kompleks, generasi muda perlu dilengkapi bukan sahaja ilmu pengetahuan tetapi juga kemahiran untuk mengurus emosi, menjaga kesihatan mental dan membina daya tahan terhadap cabaran hidup,” katanya sambil menambah program itu diyakini akan diperluas lebih banyak ke sekolah dan negeri lain.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi