Oleh Balqis Idris
BANGI, 18 RAMADAN — Naib Pengerusi DAP hari ini tampil membuat laporan polis selepas seorang warga maya disyaki membuat komen berbaur ugutan terhadapnya.
Syahredzan Johan berkata laporan itu dibuat susulan tiada permohonan maaf rasmi dibuat selepas tempoh yang diberikan tamat.
“Saya hari ini membuat laporan polis terhadap Kartini Khalid yang membuat komen berbaur ugutan terhadap saya dalam laman Legasi Tok Guru.
“Saya sendiri tidak dapat mengesahkan bahawa beliau sudah membuat permohonan maaf kepada saya secara ikhlas, justeru saya mengambil langkah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi coretan di laman Facebook miliknya hari ini meluahkan kekesalan dengan tindakan individu terbabit.
Dalam ruangan komen yang ditinggalkan, suspek dipercayai meninggalkan komen bernada ugutan dengan menulis perkataan berbahaya.
“Muka-muka pengkhianat bangsa dan agama inilah punca berlakunya tragedi parang terbang lagi nanti, mereka akan lari hingga ke lubang cacing dengan penuh ketakutan.
“Namun tetap tewas dan akhirnya tumbanglah menyembah bumi dalam keadaan hina bersama tuan mereka,” kata suspek di ruangan komen.
Sehubungan itu, Syahredzan menasihati individu terbabit agar membuat permohonan maaf secara terbuka agar beliau dapat mempertimbangkan tindakan yang bakal menyusul.
Katanya, pengguna media sosial dinasihatkan sentiasa berhati-hati dan mengambil pengajaran daripada kejadian ini.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi