Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 18 RAMADAN — Presiden PAS menggesa umat Islam lebih berwaspada dengan ancaman DAP yang mahu merampas kuasa Melayu dalam pentadbiran negara.
Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata umat Islam wajib mempertahankan kuasa Melayu bagi mengelak ancaman liberalisme menular ke dalam masyarakat.
“Malaysia adalah milik Islam Melayu yang wajib dipertahankan.
“Awas! Berjaga-jagalah terhadap langkah DAP untuk mengambil kuasa dengan melemahkan kedudukan Islam dan bangsa Melayu yang berjenama Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook miliknya hari ini mengulas cadangan DAP mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri.
Katanya, tempoh tidak menjadi isu asalkan seseorang pemimpin itu mempedulikan dasar bagi mencapai wawasan dunia dan akhirat mengikut ketetapan Allah.
“Ini kerana tanggungjawab tersebut merupakan amanah yang besar daripada Allah. Bukan sekadar membahagikan jawatan atau memberikan kerja dalam tempoh tertentu.
“Allah sudah menetapkan bahawa memimpin negara adalah amanah besar daripada-Nya kepada umat manusia dan mewajibkan kepimpinan Islam yang beriman,” katanya.
Abdul Hadi berkata PAS pernah bekerjasama dengan DAP namun hubungan itu tidak diteruskan kerana memberi ancaman kepada Islam.
Katanya, Perlembagaan jelas meletakkan keistimewaan kepada agama Islam namun ia diingkari DAP semasa kerjasama dalam Pakatan Rakyat.
“Ketahuilah bahawa pengalaman kerjasama PAS dahulu adalah atas titik persamaan menentang penyelewengan, rasuah dan lain-lain.
“Namun, DAP melanggar sempadan kerjasama itu atas dasar menentang keislaman yang sempurna sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Pemimpinnya juga mengeluarkan kenyataan secara terbuka menentang pelaksanaan Islam di negeri-negeri, walaupun hanya melibatkan penganut Islam sahaja,” katanya.
Ahli Parlimen Marang itu berkata PAS boleh bekerjasama dengan bukan Islam yang tidak ekstrem dan boleh menerima syarat kepimpinan Islam di Malaysia.
Katanya, ia berikutan tanah air ini dimiliki oleh penganut Islam sebelum dirampas oleh kumpulan penjajah.
“Mengikut Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASJ), mereka yang layak menerajui kepimpinan negara ialah bangsa atau kaum yang mendominasi umat Islam.
“Hal ini berdalilkan mesyuarat para sahabat yang memilih ketua negara selepas kewafatan Rasulullah SAW dengan berpegang kepada pesanan baginda.
“Para ulama’ mazhab ASJ menafsirkan kaum Quraisy yang disebut dalam hadis merujuk kepada kalangan umat Islam yang mendominasi pada zaman itu,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi