Oleh Balqis Idris
BANGI, 18 RAMADAN — Pendakwah bebas Firdaus Wong menggesa umat Islam tidak memandang ringan isu pembinaan kuil secara haram.
Firdaus, 40, berkata tindakan membiarkan pembinaan kuil secara haram tanpa kelulusan hanya memberi tanggapan salah seolah-olah undang-undang boleh diketepikan.
“Kuil ini dibina tanpa kelulusan dan jelas menyalahi peraturan pembinaan yang ditetapkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tanpa Kelulusan Perintah Pembangunan.
“Ambil tindakan tegas dengan merobohkan semua struktur binaan yang sudah dibina tanpa kebenaran agar menjadi peringatan kepada semua masyarakat di luar,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi coretan di laman Facebook miliknya hari ini meluahkan kekesalan susulan tiada tindakan yang dikenakan terhadap pembinaan kuil haram tersebut.
Firdaus hari ini mendedahkan pembinaan kuil yang dilakukan secara haram tanpa mendapat kelulusan pihak berwajib.
Katanya, DBKL sudah melakukan pemantauan hasil daripada aduan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) pada 12 Mac lalu terhadap pembinaan tersebut.
“MIC menyatakan permohonan tersebut dalam proses namun pada 17 Mac 2025, Pejabat Zon Kawasan 3 DBKL memaklumkan kepada PERKIM tiada permohonan dilakukan,” katanya.
Sehubungan itu, Firdaus menggesa tindakan sewajarnya dapat diambil agar menjadi peringatan kepada semua masyarakat di luar.
“Janganlah kita biarkan mana-mana pihak pun membina rumah ibadat tanpa kebenaran dan kemudian bila mereka merayu kita biar dan benarkan.
“Ambil tindakan tegas. Hormati Rukun Negara, Kedaulatan Undang-Undang. Jangan ‘play victim’,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi