Oleh: Azzman Jamal
BANGI, 18 RAMADAN – Malaysia mencatatkan kerugian RM933.4 juta akibat banjir pada tahun lepas, meningkat 23.5% berbanding RM755.4 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, banjir pada 2024 memberi impak besar kepada ekonomi negara dengan majoriti kerugian tertumpu kepada tempat kediaman, infrastruktur awam dan pertanian.
Jelasnya, Kelantan, Terengganu dan Kedah mengalami kerugian paling ketara.
Beliau berkata, kerugian terbesar dicatatkan tempat kediaman melonjak kepada RM372.2 juta berbanding RM168.3 juta pada 2023 manakala kerugian aset awam dan infrastruktur menurun kepada RM303.4 juta berbanding RM380.7 juta.
“Kerugian dalam sektor pertanian turut meningkat kepada RM185.2 juta berbanding RM120.6 juta pada 2023, manakala premis perniagaan mencatatkan kerugian sebanyak RM54.1 juta.
“Sementara itu, kerosakan kenderaan mencatatkan kerugian paling kecil iaitu RM1.2 juta, turun berbanding RM10.3 juta pada tahun sebelumnya,” katan dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dari aspek tempat kediaman, Kelantan mencatatkan kerugian terbesar sebanyak RM139 juta, diikuti Terengganu dengan RM103.1 juta dan Kedah sebanyak RM54 juta.
Katanya, Kelantan juga menanggung kerugian premis perniagaan terbesar berjumlah RM27.1 juta diikuti Terengganu (RM16.4 juta) dan Kedah sebanyak RM4.3 juta.
“Terengganu mencatatkan kerugian kerosakan kenderaan tertinggi berjumlah RM5.8 juta diikuti Kelantan (RM4 juta) adn Kedah sebanyak RM2.1 juta.
“Bagi sektor pembuatan, Kelantan mencatatkan kerugian sebanyak RM1.1 juta,” ujarnya.
Menurut kenyataan itu lagi, kajian kes yang dijalankan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendapati sebanyak 65% mangsa banjir menerima bantuan dalam tempoh 48 jam.
Katanya, lebih 45% mangsa banjir bersedia menghadapi bencana dengan menyimpan stok keperluan harian bagi memastikan kelangsungan hidup dalam tempoh kecemasan.
“Selain itu, 17% mengambil langkah perlindungan dengan mencarum insurans sebagai jaminan kewangan sekiranya berlaku kerosakan atau kerugian.
“Namun, kurang daripada 0.1% memilih untuk tidak mencarum insurans.
“Semantara itu, 25% mangsa banjit tidak membuat sebarang persediaan, yang mungkin meningkatkan risiko kesukaran semasa dan selepas kejadian banjir,” tambahnya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi