Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 18 RAMADAN — Perdana Menteri Israel menegaskan serangan yang kembali membunuh penduduk Gaza dilancarkan ekoran kedegilan Hamas meneruskan rundingan gencatan senjata.
Benjamin Netanyahu berkata rakyat Gaza diseru meninggalkan kawasan serangan menuju ke lokasi lebih selamat di waktu perang, lapor Reuters.
“Bermula dari sekarang, Israel akan bertindak ke atas Hamas dengan meningkatkan kekuatan. Sebarang rundingan akan tetap berlaku ketika serangan.
“Hamas sudah merasakan serangan kami sejak 24 jam yang lalu. Saya menegaskan ini hanyalah permulaan,” katanya ketika berucap di Tel Aviv.
Serangan udara Israel semalam mengorbankan lebih 400 nyawa selepas hampir dua bulan gencatan senjata fasa pertama berlangsung.
Khemah sementara dan kawasan perumahan musnah dibedil Zionis dengan kereta kebal dilihat mula memasuki sempadan Gaza.
Penduduk di Beit Hanun di utara Gaza dan Khan Yunis dilihat mula meninggalkan kediaman mereka dengan membawa barang keperluan.
Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan hospital mula dibanjiri dengan karung putih berisi jenazah yang terkorban dalam serangan semalam.
Hamas memaklumkan serangan itu mengorbankan ketua umumnya Essam Addalees, Timbalan Menteri Keadilan Ahmed Al-Hatta dan ketua keselamatan Mahmoud Abu Watfa.
Jurucakapnya, Abdel-Latif Al-Qanoua berkata pihaknya masih berhubung dengan perantara bagi memastikan rundingan gencatan senjata fasa dua berjaya.
Hamas kini masih menahan 59 tahanan Israel yang dikumpulkan semasa permulaan Taufan Al-Aqsa pada 7 Oktober 2023.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi