Oleh Balqis Idris
BANGI 13 RAMADAN — Parti PEJUANG menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diletakkan di bawah Parlimen bagi memastikan ketelusan siasatan.
Ketua Penerangannya, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata selagi SPRM berada di bawah kawalan kerajaan maka ia akan terus dilihat sebagai alat kepada pemerintah.
“Kita tidak boleh lari daripada mempersoalkan apakah sebenarnya motif SPRM dan adakah SPRM sekarang ini menerima arahan atau arahan politik daripada Jabatan Perdana Menteri?
“Seksyen 5 dalam Akta 694, Akta SPRM 2009 jelas yang akan menasihatkan pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM adalah Perdana Menteri sendiri.
“Selagi mana SPRM tidak diletak di bawah Parlimen, selagi itu ia akan dilihat sebagai alat kerajaan,” katanya kepada TV Pertiwi.
Bekas perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya berhubung siasatan pengubahan wang haram.
SPRM mengesahkan rampasan wang tunai RM170 juta serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta terhadap Ismail Sabri.
Dalam perkembangan sama, Rafique mempersoalkan tindakan SPRM yang dianggap sebagai berat sebelah dalam menjalankan siasatan terhadap Ismail Sabri.
“Betapa bersemangatnya Ketua SPRM apabila kes yang disiasat mulai 2024 kembali disiasat setelah sekian lama senyap dalam tempoh yang lama?” soalnya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi