‘Bail out’ Anwar sama macam Tun Mahathir, kata Hassan

Oleh Wartawan TV Pertiwi

BANGI, 13 RAMADAN Ahli Parlimen PKR mendakwa tiada bezanya ‘bail out’ yang dilakukan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

 

Hassan Abdul Karim berkata dua pemimpin itu menyifatkan ‘bail out’ atau suntikan dana dilakukan demi kepentingan negara dan orang Melayu.  

 

“Anwar berhujah jika kerajaan tidak menyelamatkan Sapura Energy maka kerajaan akan dianggap mengkhianati orang Melayu.

 

“Maka hujah dan alasan yang diberi oleh pentadbiran Anwar sama juga dengan hujah dan alasan Tun Mahathir dulu iaitu ‘bail out’ perlu untuk kepentingan negara dan orang Melayu.

 

“Jadi tidak banyak berubah sebenarnya kepimpinan negara kita ini dari zaman Tun Mahathir hinggalah ke zaman Anwar,” katanya. 

 

Beliau berkata demikian menerusi coretan di laman Facebook miliknya semalam mengumumkan suntikan dana kepada Sapura Energy. 

 

Anwar semalam menjelaskan suntikan dana RM1.1 bilion kepada Sapura Energy merupakan pinjaman yang perlu dibayar balik.

 

Katanya, pinjaman itu dibuat secara telus dan mengikut peraturan selepas audit forensik dilaksanakan bagi membuat pembayaran kepada 2,000 vendor Sapura Energy. 

 

Hassan berkata selepas hampir 30 tahun muncul sekali lagi istilah ‘bail out’ apabila Sapura Energy memperoleh pelaburan RM1.1 bilion daripada kerajaan.

 

Katanya, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menjelaskan tindakan kerajaan menyelamatkan Sapura Energy bukan ‘bail out’ tetapi satu pelaburan strategik.

 

“Jika istilah ‘bail out’ itu dilihat sebagai jahat maka dicari istilah lain seperti pelaburan strategik menurut Fahmi.

 

“Menurut Kamus Cambridge perkataan ‘bail out’ bermakna proses menyelamatkan syarikat, pelan atau perkara lain daripada gagal menyalurkan wang. 

 

“Dalam bahasa Melayu kita ‘bail out’ itu bermakna ‘menyelamatkan’. Kerajaan keluarkan sejumlah wang yang banyak iaitu RM1.1 bilion untuk selamatkan Sapura Energy,” katanya.

 

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

PUTRA desak SPRM siasat Teresa Kok kes seleweng dana

Next Post

Menteri nafi dakwaan ‘meluluskan kewarganegaraan pendatang Cina’

Related Posts