Oleh Kamil Awang
SHAH ALAM, 12 RAMADAN — Mahkamah Tinggi hari ini menangguhkan keputusan kes saman Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) terhadap pensyarah Prof Mohd Ridhuan Tee Abdullah.
Peguam defendan, Ashmadi Osman berkata penangguhan itu dibuat susulan Hakim, Dr Choong Yeow Choy mahu penjelasan lanjut daripada peguam plaintif dan defendan.
“Hakim hari ini meminta penjelasan lanjut tentang hujahan kami dalam kes ini. Kedua-dua pihak sudah memberikan hujah keterangan lanjut kepada hakim.
“Mahkamah akan menetapkan keputusan pada 29 April 2025. Adillah bagi hakim mendapat penjelasan kedua-dua belah pihak tentang kes ini.
“Walau kes sudah tamat dengan hujahan bertulis, hakim mahu penjelasan lanjut dan kita sudah berikan kepadanya,” katanya kepada TV Pertiwi.
Ashmadi berkata demikian ketika ditemui di perkarangan mahkamah selepas pihak plaintif dan defendan dipanggil ke kamar hakim.
Hadirin di galeri awam hari ini terpaksa menunggu lebih sejam sebelum peguam dipanggil ke kamar hakim untuk perbincangan.
IKRAM memfailkan saman kepada Ridhuan susulan tiga kiriman pensyarah itu di laman Facebook pada 2020.
Plaintif mendakwa kiriman berkenaan mengandungi fakta tidak benar oleh pihak ketiga yang menjejaskan reputasi plaintif.
Peguam plaintif, Awang Armadajaya Awang Mahmud sebelum ini mendakwa pihaknya menuntut Ridhuan untuk membuktikan segala keterangannya di mahkamah.
Mengulas pertemuan bersama hakim hari ini, Ashmadi berkata Choong mahu mendengar pandangan dari pihak plaintif dan defendan.
Katanya, keputusan adalah kuasa penuh hakim yang akan diputuskan pada 29 April selepas mahkamah berpuas hati dengan hujah kedua belah pihak.
“Ia bukan pandangan kami. Hakim lebih kepada mahu mendengar bagaimana peguam membawa kes ini sama ada mengundang saman masyarakat atau tidak.
“Banyak benda lain yang sudah dibangkitkan dan hakim memerlukan penjelasan. Hakim perlu lihat semula. Ini bidang kuasa mahkamah.
“Semuanya tertakluk kepada mahkamah. Kita kena hormat kuasa mahkamah. Mahkamah pun tidak mahu buat keputusan tergesa-gesa,” katanya.
Ashmadi berkata hakim bebas membuat keputusan namun apa yang dibangkitkan pihaknya adalah kenyataan Ridhuan tidak berunsur fitnah.
“Kiriman Ridhuan bukanlah satu fitnah sebab bergantung sepenuhnya kepada penerbitan sebelum ini.
“Itu sahaja yang saya boleh cakap. Perkara lain hakim akan membuat keputusan,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi