Oleh Kamil Awang
BANGI, 11 RAMADAN — Pertubuhan Muafakat Ilmuan Islam (MUIS) menasihatkan umat Islam tidak mengingkari kefardhuan puasa yang diwajibkan pada bulan Ramadan.
Setiausaha Agungnya, Ahmad Syamil Mohd Esa berkata puasa bukan sahaja bukti kepatuhan kepada Allah SWT tetapi mengandungi hikmah kesihatan badan.
“Fadhilat puasa juga membawa kepada kesihatan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud ‘berpuasalah, kamu akan sihat’.
“Bila Allah perintahkan untuk berpuasa, ia bukan semata-mata untuk ganjaran akhirat tetapi untuk memulihkan sistem badan. Ia set semula sebab selama ini asyik makan.
“Kalau tidak mampu berpuasa kerana akhirat pun, lihatlah manfaatnya secara kesihatan. Fokus dan kecergasannya juga satu pengalaman yang berbeza,” katanya kepada TV Pertiwi.
Beliau mengulas tindakan segelintir pihak yang memandang ringan kewajiban berpuasa pada bulan Ramadan sehingga ada yang ditahan pihak berkuasa.
Katanya, golongan yang tidak mempunyai keuzuran perlu berpuasa pada bulan Ramadan sesuai dengan tuntutan yang diperintahkan Allah.
“Untuk golongan begini mereka perlu menyedari apa yang dilakukan adalah satu kesalahan dan melanggar Rukun Islam.
“Kalau ia mengingkari secara sengaja, mereka sudah terkeluar dari agama. Kalau kerana malas, mereka melakukan dosa yang besar.
“Mereka perlu membina disiplin untuk patuh kepada apa yang diperintah Allah. Islam tidak zalim tetapi ia untuk manfaat diri sendiri,” katanya.
Ahmad Syamil berkata puasa akan menjadikan kita mengasihi, memahami dan merasai kesusahan orang lain.
Katanya, Islam menetapkan pelbagai bentuk ibadah yang semuanya mempunyai hikmah tersirat untuk kebaikan umat manusia.
‘Ada ibadah membuang bakhil iaitu zakat. Ada ibadah membuang rasa malas iaitu solat. Ada ibadah melatih disiplin iaitu puasa.
“Ibadah ini hakikatnya untuk kita mendapat manfaat yang Allah sudah susun kepada orang beriman,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi