Oleh Balqis Idris
BANGI, 11 RAMADAN — Jabatan Kajian dan Polisi, Lajnah Penerangan PAS kesal dengan tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat hantaran Facebook.
Pengarahnya, Ir Nurul Islam Mohamed Yusoff menuntut penjelasan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengenai tindakan yang dianggap berat sebelah.
“Fahmi perlu menjelaskan mengapa SKMM di bawah kepimpinannya menyekat tiga hantaran saya di Facebook dalam tempoh seminggu ini?
“Dulu waktu wajahnya masih jambu, lancar saja dia bercakap tentang kebebasan bersuara. Sekarang, kebebasan bersuara mesti ikut kehendak SKMM dan Perdana Menteri.
“Jika tidak, akan terus disekat?” soalnya menerusi coretan di laman Facebook hari ini meluahkan kekesalan terhadap tindakan SKMM.
Hantaran itu berkaitan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) dan kenyataan kontroversi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Manakala, satu lagi kiriman mengenai penghinaan pemandu e-hailing yang didakwa menghina Islam dan Malaysia.
Nurul Islam berkata SKMM bersikap pilih kasih kerana menyekat kirimannya namun tidak bertindak terhadap laman yang menaburkan fitnah.
Katanya, SKMM tidak menerima kritikan politik serta enggan menangani isu besar seperti judi dalam talian, pornografi dan penipuan siber yang masih berleluasa.
“Apa hal hendak main sekat-sekat? Laman fitnah macam Harakatdaily elok saja bernyawa dan menabur fitnah sampai hari ini bukan. Sebab dia menguntungkan kamu?” soalnya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi