Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 10 RAMADAN — Presiden Parti AMANAH mendakwa umat Islam tidak bersungguh-sungguh dalam menyokong perjuangan pembebasan Palestin.
Datuk Seri Mohamad Sabu berkata atas dasar itu, Palestin masih terus dijajah Israel kerana tiada kesepakatan dalam dunia Islam.
“Isunya bukan kekuatan Israel semata-mata. Masalah sebenar ialah negara-negara Arab dan umat Islam tidak bersungguh-sungguh dalam menyokong perjuangan Palestin.
“Siapa sebenarnya yang benar-benar peduli terhadap rakyat Palestin? Kebanyakannya hanyalah negara miskin atau negara yang dikenakan sekatan ekonomi.
“Ia seperti Iran, Iraq, Yaman dan beberapa kumpulan tertentu. Kekuatan dan kekejaman Israel bukanlah masalah utama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata negara Arab terus menunjukkan kelemahan apabila sanggup menjalinkan hubungan perniagaan dengan Israel.
Katanya, ia termasuk negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang majoritinya Muslim sanggup membekalkan minyak kepada Israel.
“Masalah sebenar ialah kurangnya kesatuan dalam kalangan umat Islam khususnya negara-negara Arab dalam menyokong Palestin.
“Malangnya, tiada negara Muslim atau Arab yang membelanjakan berbilion dolar untuk membantu Palestin. Negara Muslim dan Arab masih keliru tentang arah tuju mereka.
“Di manakah kesatuan umat Islam terutamanya organisasi seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab, dan negara majoriti Muslim lain dalam menyokong Palestin?” soalnya.
Mohamad berkata Palestin akan berjaya mendapatkan kembali tanah air dan pulang ke tanah kelahiran mereka hasil daripada kesedaran dalam kalangan umat Islam dan masyarakat dunia.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi