Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 10 RAMADAN — Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menggesa penghina agama Islam, Vijayan Savarinathan dibawa pulang ke Malaysia untuk dihukum.
Ketua Penerangannya, Irwan Fahmi Ideris berkata Vijayan perlu bersemuka memohon maaf kepada imam Masjid Negara sebelum menerima hukuman setimpal.
“PERKASA menggesa kerajaan untuk mengenakan tindakan tegas kepada individu tersebut dengan hukuman yang paling berat.
“PERKASA juga mahukan individu ini dibawa balik ke Malaysia dan berjumpa dengan imam di Masjid Negara atau pun Masjid Putra di Putrajaya untuk meminta maaf.
“Jangan jadikan bila sudah terlajak perbuatan baru minta maaf sebagai trend ikutan dalam isu menghina mana-mana agama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Vijayan semalam tampil membuat permohonan maaf selepas tular video dia melemparkan penghinaan kepada agama Islam.
Katanya, penghinaan itu dibuat kerana marah dengan sikap penyampai Radio ERA yang seperti menghina upacara agama Hindu.
Irwan Fahmi berkata orang Islam sudah cukup muak dan sabar dengan kerenah pihak tertentu yang sewenang-wenangnya membuat kesalahan dan meminta maaf.
Katanya, walaupun luka seluruh rakyat Malaysia sudah tidak kelihatan tetapi kesan parut luka itu masih terlihat sampai bila-bila.
“PERKASA menggesa pihak polis untuk terus bertindak dengan menggunakan undang-undang sedia ada tanpa perlu berlengah lagi.
“Jika individu tersebut masih bebas di luar negara, minta bantuan Interpol untuk bawa balik Vijayan pulang ke tanah air untuk diberikan hukuman yang setimpal.
“Batalkan kerakyatannya jika tidak pulang,” katanya yang menyatakan kekesalan terhadap episod berulang penghinaan kepada agama Islam.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi