Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 9 RAMADAN — Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif (MINDA) terus melahirkan kekesalannya selepas tiada usaha memperbaiki mutu pendidikan negara.
Timbalan Pengarahnya, Dr Anuar Ahmad berkata meskipun sudah berulang kali membangkitkan isu yang sama namun tiada usaha penambahbaikan.
“Sejak 2020, saya sudah tegaskan secara terbuka sistem pendidikan negara sedang berdepan krisis. Saya sudah tegaskan dengan sokongan berbagai data rasmi.
“Malaysia menjadi negara paling merosot di ASEAN. Di peringkat dunia, kedudukan Malaysia adalah antara lima buah negara yang paling teruk merosot.
“Macam-macam penafian yang kita dengar. Asasnya kerana kepentingan politik. Takut dikatakan gagal. Takut hilang sokongan politik,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi coretan di laman Facebook miliknya hari ini meluahkan kekesalan terhadap mutu pendidikan negara.
Katanya, kegagalan sistem Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) lebih memburukkan keadaan apabila kadar literasi semakin menurun.
“Malangnya tidak ada usaha untuk isu tersebut. Sekolah dibuka seperti biasa. Akhirnya kita melihat begitu ramai murid yang keciciran 3M (membaca, menulis dan mengira).
“Ramai murid didapati tidak minat belajar, kadar ponteng juga meningkat. Tanyalah guru-guru untuk sahkan situasi ini.
“Tetapi budaya penafian dalam sistem pendidikan sangat tinggi. Kita semua tahu hal ini. Bukan sesuatu yang rahsia lagi.
Anuar berkata jiwa kepimpinan yang ada dalam kerajaan hari ini tidak cukup besar untuk mengakui kelemahan yang ada.
Katanya, kerugian dalam budaya penafian ini menjejaskan murid di sekolah selaku generasi pewaris negara akibat kelemahan sistem pendidikan.
“Jika tidak mahu terima kenyataan sistem pendidikan semakin merosot? Terserahlah. Jika masih mahu menafikan kualiti pendidikan negara semakin menjunam? Ikut kamulah.
“Jika masih mahu tolak cadangan yang saya selalu berikan untuk baiki sistem pendidikan negara? Tolaklah. Saya tidak rugi apapun.
“Masalah sistem pendidikan negara ini hanya boleh diselesaikan bila ‘mindset’ dan ‘budaya kerja’ kelompok pengurusan pendidikan berubah dahulu,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi